Thursday 17 May 2012

Hari Guru

Sekolah Kebangsaan Kg Kenang telah menyambut hari guru seperti sekolah-sekolah yang lain. Pelbagai aktiviti telah dijalankan. Salah satu acara tahunan adalah Bowling.


Semua guru dan staf terlibat dalam acara ini. Ia dibahagikan kepada empat kumpulan. Musang berjanggut yang diketuai oleh Guru Besar, Lion King yang diketuai oleh PK Pentadbiran, Chegot diketuai oleh PK HEM dan Harimau Malaya diketuai oleh PK KOKU.


Ada diantara staf yang membawa ahli keluarga untuk memberikan sokongan. Ini yang mengeratkan silaturrahim antara staf SK Kg Kenang.



                                             Kumpulan Musang Berjanggut mendapat tempat ke empat


                                                     Kumpulan Chegot mendapat tempat ketiga


Kumpulan Harimau Malaya mendapat tempat ke dua


Kumpulan Lion King menjadi Juara pertandingan ini


Gambar bersama guru dan staf selepas pertandingan.






Saturday 5 May 2012

Pengaruh daripada bahasa asing dalam Bahasa Melayu

Bahasa Melayu banyak menyerap bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Belanda, Jawa, Arab dan sebagainya.

Pengaruh Bahasa Sanskrit
Bahasa Sanskrit, bahasa perantara agama Hindu dan Buddha, telah banyak mempengaruhi bahasa Melayu apabila bahasa Melayu berada di peringkat kuno, iaitu pada peringkat sebelum bahasa Melayu mencapai zaman klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang Bahasa Melayu telah mengalami zaman kuno antara abad ke-7 dan abad ke-13. Bukti pengaruh bahasa Sanskrit ke dalam bahasa kuno dapat dikesan di dalam batu bersurat yang ditinggalkan oleh kerajaan Srivijaya. Mengenai bukti bahasa Melayu kuno, terdapat empat batu bersurat yang penting, iaitu yang dijumpai di:
Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
Talang Tuwo, Palembang (684 M)
Kota Kapur, Pulau Bngka (686 M)
Karang Brahi, Meringi, daerah hulu Jambi (686 M).
Selain itu sebagai faktor sampingan, faktor kemegahan juga faktor yang mendorong kepada peminjaman bahasa dari bahasa Sanskrit. Ini adalah kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang dianggap bahasa yang "tinggi-tinggi" pada zaman kuno. Penyerapan bahasa Sanskrit dalam bahasa seharian dijadikan satu cara perolehan kemegahan. Keadaan ini khususnya menyebabkan peminjaman perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu asli, tetapi digantikan juga dengan bahasa Sanskrit, kerana barangkali dianggap lebih sesuai, lebih sedap bunyinya ataupun semata-mata kerana disangka lebih "tinggi" mutunya kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa sarjana.
Dalam bahasa Melayu,terdapat 677 perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Sanskrit yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Sanskrit   Bahasa Melayu
bhasa                               bahasa
malaiu                             Melayu
akasa                              angkasa
samudhara                      samudera
maha                               maha
rajha                                raja
bhumi                              bumi
putra                               putera
nagara                            negara
nagari                             negeri
agama                            agama
anka                                angka
vaca                                baca
bhagya                           bahagia
vamsa                            bangsa
balya                              belia
varta                               berita
buddhi                             budi
chaya                              cahaya
cakra                               cakra
dosa                                dosa
dukkha                           duka
deva                               dewa
rupa                                 rupa
samsara                           sengsara

Bahasa Jawa dan bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun. Kedua-kedua bahasa tergolong kepada keluarga bahasa Indonesia. Terdapat dua faktor utama dalam penyebaran pengaruh bahasa Jawa ke Bahasa Melayu, iaitu:
Pengaruh melalui penyebaran cerita panji
Pengaruh melalui interaksi sosial dan ekonomi
Cerita panji ialah sejenis cerita yang berasal dari Jawa. Isinya adalah mengenai wira dan wirawati. Cerita ini terdapat banyak versi, dan boleh dikesan di seluruh nusantara sehingga di Kemboja.
Migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu telah berlaku semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pertempatan orang Jawa sudah dapat dikesan di bandar Melaka pada zaman itu, iaitu Kampung Jawa dan Parit Jawa. Walaubagaimanapun, migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu yang ketara berlaku bermula pada awal abad ke-19. Tumpuan migrasi Jawa adalah di negeri-negeri Selat dan juga negeri Selangor dan negeri Johor.
Pertembungan orang tempatan yang menutur bahasa Melayu dengan pendatang Jawa yang menutur dalam bahasa Jawa telah menyebabkan unsur-unsur bahasa Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa kata-kata pinjaman Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu secara terpencil dan tidak tersebar luas. Ia dikatakan diserap ke dalam Bahasa Melayu kerana migrasi orang-orang Jawa yang masih mengekalkan bahasa mereka dan tidak menguasai perbendaharaan bahasa Melayu yang sebenar.
Berikut disenaraikan beberapa kata-kata pinjaman Jawa dalam bahasa Melayu:

Perkataan                Maksudnya
Andong                     Kereta kuda(sewaan)
Batok                        tempurung
berangasan               mudah naik marah
wedana                     ketua daerah
adipati                      raja

Pengaruh Arab-Islam
Bahasa Arab dan agama Islam sangat mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Status bahasa Melayu yang bertaraf lingua franca dan keunikannya telah menyebabkan agama Islam disebarkan dalam bahasa Melayu dan tidak dengan bahasa Arab. Walau bagaimanapun, bahasa Arab melalui kedatangan agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dalam beberapa aspek, antaranya:
1- perbendaharaan kata
2- sebutan kata
3- tulisan

1- Perbendaharaan Kata
Hampir sebahagian besar perbendaharaan bahasa Melayu meminjam perkataan bahasa Arab. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Arab             Bahasa Melayu
Abba                             Abah
Syukr                             Syukur
Jadwal                           Jadual
Qamus                           Kamus
Subh                              Subuh
Waqtu                           Waktu
Hayawan                      Haiwan
Wajh                              Wajah
Aqal                               Akal
Dunya                           Dunia
Mahkamah                    Mahkamah
Asal                                Asal
Mas'alah                        Masalah
Hadyah                          Hadiah
Sadaqah                       Sedekah
Mawt                             Maut
Quwat                           Kuat
Janin                              Janin
Kitab                             Kitab

2- Sebutan Kata
Pengaruh Arab-Islam memberi kesan yang sangat besar kepada sebutan perkataan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mula dituturkan supaya menghampiri sebutan bahasa Arab, kerana masyarakat Melayu terdorong untuk membaca Al-Qur'an dengan betul.
Sebutan dengan pengaruh Arab-Islam ini turut membezakan antara penutur asal bahasa Melayu (iaitu orang-orang Melayu) dengan penutur bukan asal (seperti kaum Cina, India, atau bangsa Eropah) kerana penutur bukan asal ini tidak dapat menyebut beberapa perkataan yang menerima pengaruh Arab.
Contoh-contoh perkataan yang berbeza sebutan antara sebutan penutur Melayu dan penutur bukan Melayu:
Abdullah
maklumat
iklan
qadhi

3- Tulisan
Kedatangan pengaruh Arab-Islam telah menyumbangkan kepada penulisan bahasa Melayu dalam tulisan `Arab yang akhirnya disebut tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini digunakan antara lain bagi memudahkan orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam membaca Al-Quran.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila sistem pendidikan Malaysia menukar tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, ramai orang-orang Melayu mula tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Ia dinamakan sindrom Buta Jawi atau Buta Al-Quran.

Friday 4 May 2012

PERIBAHASA

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Terdapat pihak yang mengklasifikasikan peribahasa seperti berikut:
a, Peribahasa selapis yang terdiri daripada pepatah, bidalan dan perbilangan (pepatah).
b. Peribahasa berlapis, iaitu perumpamaan
c. Lidah pendeta

Namun ada juga yang membahagikan peribahasa seperti berikut:
  • Simpulan bahasa
  • Perumpamaan
  • Bidalan
  • Pepatah atau Perbilangan
Bukan Peribahasa:
  • Kiasan
  • Metafora

Simpulan Bahasa
Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus.
Ia mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan.
Contoh:
Simpulan Bahasa
Maksud
Panjang tangan
Suka mencuri
Periuk nasi
Punca pencarian
Buruk siku
sudah diberi, diambil balik
Ikat perut
Berjimat makan dan minum
Kaki bangku
Tidak tahu bermain misalnya bola.

Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:
(a) Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur.
     Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.
(b) Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya.
     Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.
(c) Daripada kepercayaan orang ramai
     Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
(d) Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
     Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.

Perumpamaan
Perumpaan tergolong dalam peribahasa berlapis, iaitu mengandungi makna tersurat dan tersirat.
Terdapat dua bentuk perumpamaan, iaitu yang menyatakan perbandingan secara terang-teragnan dan yang tidak menyatakan perbandingan secara terang-terangan.
Perumpamaan yang menyatakan perbandingan secara terang-teranan didahului dengan kata-kata perbandingan seperti, umpama, bagai, laksana, ibarat dan baik; manakala perumpamaan yang tidak disebutkan perbandingan tidak didahului kata-kata perbandingan tersebut.
Contoh perumpaan yang disebut perbandingan
a. seperti katak di bawah tempurung
b. umpama kaca dengan permata
c. Bagai pungguk rindukan bulan
d. Ibarat air di daun keladi
e. laksana katak diharung ular.

Contoh perumpamaan yang tidak disebut perbandingan
a. Genggam bara api biar sampai jadi arang
b. Diberi betis hendak peha
c. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Bidalan
Bidalan ialah peribasaha yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpaan, bidalan juga mempunyai maksud dua lapis.
Bagaimanapun bdalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama.
Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap diguanakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran.
Contoh bidalan:
Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.
Maksud lapis pertama jelas dan maksud lapis kedua merujuk orang yangs edikit ilmu dan pengalaman supaya tidak mencuba sesuatu yang rumit.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Hujan emas di negeri orang,
hujan batu di negeri sendiri,
Baik juga negeri sendiri.
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Jikalau beranak, ikut kata bidan.

Pepatah atau Perbilangan
Pepatah atau perbilangan mempunyai struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan melainkan perbilangan disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi.
Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan atau perkataan.
Ia berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.
Contoh
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
Hati manusia sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
Cubit paha iri, paha kanan sakit juga.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak.