Saturday 28 April 2012

BAGAIMANAKAH TATABAHASA DAPAT DIAJARKAN DENGAN BERKESAN?


Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Beijing Foreign Studies University

PENDAHULUAN

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tata bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah bererti bercakap tentang soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tata bahasa mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tatabahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?

Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan tentang kaedah dan teknik pengajaran tata bahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah tentang tatabahasa. Kata pepatah “Tak Kenal maka tak cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah saja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.

TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA

Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah satu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam ruh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan bahasa dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter. Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tata bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tata bahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tata bahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar).

PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA

Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik pada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah agar murid menguasai sistem bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan asas hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.

STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA

Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:

a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa sehingga menimbulkan kebosanan. Tatabahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang.

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat tentang kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tata bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabungjalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tatabahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tatabahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian tentang makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan ransangan”.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tatabahasa ialah:

a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan kepalbagaian konteks penggunaan tata bahasa.

b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.

c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.

d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan, borang, risalah, dan sebagainya.

e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.

f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.


Pengajaran

Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:

a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tatabahasa tertentu dalam bahasa.

b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.

c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya.

d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.

e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.

f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).

g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.

h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).

i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

PENUTUP BICARA

Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Untuk memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tata bahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.

8 Penggunaan Perisian


Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan,penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan . Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat seseorang manusia .  Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Dalam konteks pendidikan, guru biasanya berusaha sedaya upaya mengajar  supaya pelajar dapat belajar dan menguasai isi pelajaran bagi mencapai sesuatu objektif yang ditentukan. Pembelajaran akan membawa kepada perubahan pada seseorang . Walaubagaimanapun perubahan yang disebabkan oleh kematangan seperti berjalan dan makan ataupun penyakit dan kelaparan tidaklah dianggap sebagai pembelajaran.  Kamus Dewan mentakrifkan pembelajaran sebagai proses belajar  untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan menjalani latihan.  Menurut pandangan  ahli kognitif, pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan tingkahlaku yang agak kekal.  Manakala aliran behavioris pula  berpendapat bahawa pembelajaran ialah perubahan dalam tingkahlaku ,iaitu  cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang mencapai sempurna kendiri dan nilai individu.
           Pelbagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran masih diperlukan memandangkan perbezaan gaya pembelajaran pelajar. Memandangkan senario abad ke 21, yang membayangkan kegunaan komputer yang begitu meluas, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer akan menjadi satu kaedah yang ditumpukan. Ini juga bersesuaian dengan prinsip ‘mastery learning’ yang mana pelajar boleh belajar tanpa bimbingan guru. Walau bagaimanapun peranan guru sebagai mu’allim, murabbi, muaddib, muhallil, dan qiadi masih kekal, malah perlu dimantapkan khususnya dalam menghadapi ‘kerenah globalisasi’ . Di samping itu, terdapat beberapa amalan profesional yang perlu dikuasai dan dihayati oleh para pendidik bestari:
a)       Menterjemah kandungan kurikulum sebagai aktiviti pengajaran pembelajaran yang bermakna.
b)       Menguasai dan bijak mengguna alat teknologi terkini di samping dapat memanfaatkannya ke arah      mengoptimumkan proses pengajaran pembelajaran.
c)       Pengajaran dan pembelajaran bermakna dan berfikrah melalui penguasaan kemahiran generik.
d)       Membantu pelajar mengenalpasti matlamat pendidikan, mendefinisikan hala tuju bagi pelajarnya, memantau kemajuan pelajar, dan kemudian menyediakan ruang untuk pelajar belajar mengikut kadar kendiri.
e)       Bertanggungjawab menyediakan suasana yang menggalakkan pembelajaran terarah kendiri yang      kreatif dan berdikari.
f)       Sumbangan kreatif dan inovatif khususnya dalam menghasilkan pakej pembelajaran bestari yang boleh membantu proses pembelajaran pelajar ke arah
            akses kendiri.
Menurut Tg.Zawawi, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu dikuasai dan diamalkan oleh para pendidik bestari. Antaranya strategi inovatif yang berasaskan teknologi seperti perbincangan dengan rakan yang jauh, pembelajaran jarak jauh, penggunaan data sebagai sumber maklumat, memproses maklumat dan menghubungkan dapatan; merujuk ensaiklopedia eletronik; belajar dari courseware eletronik dan komunikasi eletronik. Penekanan perlu diberikan kepada aspek konteks di dalam meningkatkan kefahaman konsep baru. Untuk itu, aplikasi multimedia membolehkan pembelajaran dalam konteks digunakan untuk mengajar pengetahuan dan kemahiran yang relevan. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan pembelajaran akses kendiri.
                Terdapat  beberapa teori yang dikemukakan mengenai pembelajaran , setiap teori  mempunyai  konsep atau prinsip tersendiri tentang proses belajar. Berdasarkan berbezaan sudut pandang ini maka teori pembelajaran  tersebut dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian . Sejauhmana penggunaan teori dan pentingnya teori-teori yang dibincangkan itu akan menjelaskan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam mereka bentuk  perisian PPBK.
a)       Teori Tingkahlaku (behavioris)
Mengikut pendekatan  teori  tingkahlaku ,  setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran  yang  berlaku  akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman.  Contohnya dalam pembelajaran asas perkakasan komputer minat pelajar terhadap tajuk adalah disebabkan  cara penyampaian pengajaran yang baik menyebabkan pelajar memberikan perhatian.  Rangsangan yang pertama ialah komputer dan rangsangan kedua ialah cara pengajaran yang menarik. Oleh kerana  perkaitan antara keduanya  adalah positif maka gerakbalas yang berlaku juga positif. Tingkahlaku  memberikan perhatian akan dilazimkan ,iaitu pelajar akan terus memberikan perhatian apabila belajar mengenai komputer.  Tumpuan pembelajaran adalah kepada tingkahlaku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan adalah tanggungjawab guru dan dikawal sepenuhnya oleh perekabentuk pengajaran atau sistem pengajaran seperti komputer yang digunakan.  Prinsip utama teori ini ialah rangsangan dan gerakbalas  serta peneguhan  .Dalam perisian kursus PPBK , tumpuan objektif penggunaan ialah hanya pada peringkat kefahaman dan pengetahuan. Teori ini akan berpegang kepada anggapan bahawa pembelajaran perisian kursus PPBK  merangkumi  tanggungjawab guru, dan dikawal sepenuhnya oleh pereka bentuk pengajaran atau sistem pengajaran. Teori ini juga berlandaskan kepada anggapan bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan jika peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar diberikan ganjaran selepas menunjukkan sesuatu gerakbalas, ia akan mengulangi tindakbalas  tersebut setiap kali rangsangan yang serupa ditemui.  
             Dalam proses pengajaran dan pembelajaran  perisian PPBK ini, guru perlu  memahami tingkahlaku-tingkahlaku pelajar yang dapat meningkatkan pembelajaran pelajar semasa kegiatan pembelajaran . Prinsip-prinsip teori tingkahlaku yang diterapkan  meliputi:
a)       Proses belajar dapat berlaku dengan baik bila pelajar ikut dengan aktif didalamnya
b)       Bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logik supaya pelajar dapat dengan mudah mempelajarinya dan dapat memberikan respon tertentu;
c)       Tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui apakah respon yang  diberikannya telah benar;
d)       Setiap kali pelajar memberikan respon yang benar maka ia perlu diberi  ganjaran dan motivasi .
Menurut  (Hartley & Davies, 1978 )  beberapa prinsip-prinsip teori tingkahlaku yang banyak diterapkan di dunia pendidikan meliputi
Setiap kali pelajar memberikan respon yang benar maka ia perlu diberi penguatan.
Beberapa prinsip prinsip utama  teori tingkahlaku pelaziman  yang  yang dikemukakan oleh Pavlov  boleh diaplikasikan dalam merekabentuk perisian PPBK ini ialah .
a)        Mengaitkan pengalaman yang positif dan baik dengan tugasan pembelajaran. Guru perlu menggalakkan aktiviti kumpulan dikalangan pelajar untuk memberikan kesan yang lebih terhadap pelajar disamping menghilangkan perasaan takut pelajar sekiranya akti viti  dijalankan secara individu. 
b)       Pelajar boleh mempelajari dengan mengaitkan dengan  antara rangsangan dan  tindakbalas . Ini a)    Proses belajar dapat berlaku dengan baik bila pelajar ikut dengan aktif didalamnya
b)    Bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logik supaya pelajar dapat dengan mudah mempelajarinya dan  dapat memberikan respon tertentu;
c)    Tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui apakah respon  yang  diberikannya telah benar;
d)    bermakna tingkahlaku pelajar boleh dilazimkan untuk gerakbalas yang dingini oleh guru.
c)       Rangsangan dan gerakbalas diperkukuhkan melalui latihan  yang diberikan. Pelajar yang menerima peneguhan positif  seperti ‘bagus’ , ‘anda berjaya’ ,  ‘jawapan anda betul’  akan menyebabkan pengguna terus melakukan yang terbaik  berterusan walaupun tidak lagi menerima  pujian .
d)       Pembelajaran akan dapat dipertingkatkan dengan mengadakan perbincangan , projek dan aktiviti kumpulan di kalangan pelajar.
e)       Motivasi boleh membangkitkan tingkahlaku positif dengan memberikan ganjaran yang sesuai .
Contoh motivasi ialah dengan memberikan pujian yang  baik, kata-kata perangsang  dan sebagainya ketika pelajar berjaya memberikan respon kepada jawapan yang disediakan  . Motivasi juga boleh dipertingkatkan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan  pelajar.
Menurut Gagne,Briggs& Wager(1992)  terdapat sembilan  elemen  utama untuk sesuatu pengajaran ,
a)   menarik perhatian
b)  menyatakan objektif pelajaran
c)  merangsang proses mengingat semula kandungan lepas
d)  bahan-bahan yang boleh menimbulkan rangsangan pelajar
e)  memberikan bimbingan
f)  tugasan dan soalan
g)  membuat penilaian tahap penguasaan pelajar
h)  mengekal dan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran pelajar.
Dalam merekabentuk  perisian PPBK ini ,pendekatan  menggunakan teori tingkahlaku di atas  dapat diaplikasikan seperti berikut:
a)   Perisian yang dibangunkan oleh penulis haruslah menarik perhatian pengguna . Untuk mewujudkan suasana ini,  pembangunan perisian ini  dimasukkan beberapa unsur-unsur  grafik  yang bersesuaian dengan persembahan multimedia yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian  pengguna.  Ini sememangnya sudah menjadi kelaziman kepada manusia yang suka melihat kepada gaya persembahan yang menarik atau lebih tepat
lagi yang berorientasikan penglihatan . Pepatah Confucious menyatakan bahawa” sebuah gambar mampu menggantikan seribu perkataan”.  Grafik  merupakan blok pembangunan  utama dalam pembangunan multimedia.(Vilamil-Casanova&Molina 1997)  Penampilan permulaan yang menarik  dengan memasukkan unsur-unsur grafik,warna dan animasi dalam perisian ini akan memberikan daya tarikan kepada pengguna untuk  terus     menggunakan perisian ini dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.  
b)    Pernyataan objektif pengajaran pembelajaran. Menurut Gagne pernyataan objektif ini merupakan satu motivasi untuk pelajar mengetahui apakah tugasan pembelajaran yang harus dicapai. Pernyataan objektif disampaikan dengan beberapa cara yang menarik  sama ada melalui teks ataupun dalam bentuk animasi yang menarik . Dalam perisian ini  matlamat dan objektif serta  apa yang hendak dicapai daripada pengguna perisian ini diakhir nanti akan dinyatakan . Keadaan ini akan  memberikan rangsangan kepada pengguna untuk terus mengguna dan mencuba perisian ini untuk mempelajari serta mendapat pengetahuan dan kemahiran mengenai  komponen-komponen yang terdapat dalam sesebuah sistem komputer sepertimana yang terdapat dalam tajuk  asas perkakasan komputer. 
c)     Melalui perisian ini pengguna akan  dapat mengetahui dan mengenalpasti jenis-jenis komponen-komponen utama yang terdapat dalam sesuatu sistem komputer., menyenaraikan  dan membezakan jenis komponen serta fungsi bagi setiap komponen komputer secara lisan dan bertulis,dapat melabelkan komponen-komponen perkakasan yang terdapat pada sesebuah papan induk, mengetahui beberapa masalah biasa yang sering berlaku kepada komputer dan boleh membuat jangkaan masalah untuk  membaikpulih komputer.      
d)  Persembahan dalam perisian  juga boleh meningkatkan rangsangan kepada pelajar untuk terus  menggunakannya , Oleh sebab itulah dimasukkan juga beberapa elemen-elemen yang  boleh mewujudkan suasana  menarik dalam perisian ini antaranya ialah penggunaan  ikon –ikon tertentu yang berfungsi untuk memberikan maklumat dan bantuan  serta menyediakan  panduan kepada pengguna   mengenai perkara tertentu yang  diperlukan semasa menggunakannya. Disamping itu  juga terdapat unsur-unsur penggunaan audio yang  jelas dan menarik boleh membantu pengguna untuk memahami sesuatu aktiviti yang dijalankan atau masalah yang dihadapi.  Grafik dan animasi juga berkesan untuk menyampaikan maklumat . Penggunaan grafik  dan animasi komponen-komponen komputer juga dapat menjelaskan pemahaman , menerangkan konsep dan fakta  pengguna terhadap kandungan perisian yang digunakan.  Penggunaan audio dan video dalam perisian ini akan memberikan kesan konkrit dan penegasan dalam menyampaikan maklumat . Audio dapat disampaikan dalam bentuk suara manusia yang lebih ringkas dan tepat mengenai beberapa fungsi komponen komputer  dapat  membantu pengguna khususnya yang sukar untuk membaca  teks.
d)  Beberapa latihan  ataupun tugasan yang berbentuk soalan objketif, subjektif dan kuiz  yang mencabar minda pengguna dimasukkan dalam perisian ini . Tujuannya ialah untuk mengesan  kemajuan ataupun tahap penguasaan pelajar , dapat menilai dan mentaksir kemajuan yang telah dicapai oleh pengguna  khususnya dalam topik-topik tertentu semasa menggunakan  perisian ini .  Setiap jawapan kepada soalan latihan akan disediakan maklumbalas  yang  positif  . maklumbalas komputer ini adalah dalam bentuk grafik,teks,visual dan audio. Maklumbalas positif ini dapat  menimbulkan minat , rangsangan dan motivasi kepada pengguna untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka disamping akan dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari .  Pengguna akan diberi peluang untuk menunjukkan penguasaannya terhadap sesuatu kemahiran  sebelum melangkah ke kemahiran yang lain. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh pengguna perisian ini untuk memberikan tindakbalas . Jawapan boleh diberikan melalui penggunaan tetikus atau menekan butang tertentu pada papan kekunci. Jawapan yang diberikan adalah lebih mencabar.  Pengguna juga dikehendaki memberikan jawapan atau tindakbalas terhadap soslan-soalan  dalam jangka masa yang ditetapkan . Jika pengguna tidak dapat menjawab  atau memberikan respon dalam jangkamasa yang ditetapkan , komputer akan mengarahkan pengguna menggunakan butang bantuan atau memberikan  kebenaran untuk menjawab semula soalan atau meneruskan aktiviti menjawab soalan lain. 
e)  Perisian ini juga mengambilkira faktor  penilaian akhir  peristiwa pengajaran dan pembelajaran.  Melalui aktiviti latihan menjawab soalan objektif dan subjektif serta kuiz dalam perisian ini. Komputer akan menyediakan maklumbalas,mendiagnosis kelemahan dan kekuatan pelajar. Penilaian dan maklumbalas tahap penguasaan pelajar ini boleh mengukuhkan ingatan dan  membantu pelajar  mengaplikasikan pengetahuannya dalam situasi pengalaman pembelajaran yang lebih mencabar.
b)       Teori Konstruktivisme
Menurut  konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan guru atau sistem pengajaran tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut. Ini adalah sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran PPBK . Perisian PPBK ini memerlukan pelajar yang aktif  mengaplikasikan pengetahuan dalam membina realiti mereka sendiri. Segala pengetahuan dibina oleh pelajar  tidak disokong dari pengetahuan luar. Dick (1997) menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pembelajaran boleh disusun atur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Pembelajaran akan melibatkan pelajar yang aktif dengan mencari pengetahuan dan melibatkan kerja-kerja merekabentuk. Teori ini juga beranggapan bahawa pelajar mampu untuk membuat penyelidikan, menganalisis, mempersembahkan maklumat berkenaan perisian kursus PPBK
Penggunaan  teori konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan  mereka bentuk perisian PPBK  asas perkakasan komputer ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti berikut.
a)       Pelajar  berpeluang mengemukakan pandangannya tentang sesuatu konsep.
b)       Pelajar  berpeluang berkongsi persepsi antara satu sama lain.
c)       Pelajar  menghormati pandangan alternatif rakan-rakan mereka.
d)       Semua pandangan  pelajar  dihormati dan tidak dipandang rendah
e)       Pembelajaran berpusatkan pelajar
f)       Aktiviti berasaskan ‘hands-on’ dan ‘minds-on’
g)       Mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir.
h)       Pelajar  mengaplikasikan idea baru dalam konteks yang berbeza untuk mengukuhkan kefahaman idea tersebut.
I)       Pelajar menghubungkait idea asal dengan idea yang baru dibina
j)       Guru menyediakan alat/bahan yang sesuai
k)       Pelajar  digalakkan mengemukakan hipotesis dan bukan guru menerangkan teori
l)       Guru  mengemukakan soalan yang boleh meransangkan pelajar mencari jawapan
m)      Guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada pelajar
n)       Pelajar banyak berinteraksi dengan pelajar lain dan guru
o)       Guru prihatin terhadap keperluan, kebolehan dan minat pelajar
p)      Pelajar bekerja dalam kumpulan

c)       Teori Kognitif
Teori kognitif  adalah berkaitan dengan ingatan iaitu ingatan jangka panjang dan ingatan jangka pendek.  Salah satu daripada teori kognitif ialah pemprosesan maklumat  yang digunakan dalam pengajaran pembelajaran komputer.  Teori ini juga  menyediakan  pembelajaran aktif dimana pelajar bertindak secara aktif memperoleh, menstruktur semula dan mengkaji pengetahuan untuk menjadikannya bermakna.  Pelajar  memerlukan kepada pemindahan pembelajaran dan  pengetahuan. Teori ini lebih menekan kepada pengetahuan kini dan pengetahuan yang lepas. Untuk membantu pelajar memperolehi maklumat, rekabentuk perisian hendaklah dalam bentuk simbol dan lain-lain saluran agar maklumat itu lebih teratur dan mudah diperolehi.  Alessi & Trollip (1991) mempercayai bahawa beberapa bidang dalam teori kognitif sangat penting dalam mereka bentuk bahan pengajaran terancang berasaskan komputer.  Bidang-bidang tersebut ialah pengamatan dan penanggapan , ingatan , kefahaman pembelajaran secara aktif , motivasi, pemindahan pembelajaran , dan perbezaan individu .

3.0      Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam Merekabentuk Perisian PPBK Pelbagai teknologi dan perancangan  secara sistematik  digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan perisian  pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer  memerlukan strategi yang tertentu dan pendekatan yang boleh diterapkan dan digunakan ke dalam pengajaran dan pembelajaran agar matlamat dan objektif pengajaran tersebut boleh dicapai.
Antara strategi dan pendekatan yang digunakan dalam perisian kursus PPBK  ini ialah seperti berikut:
a)  Pembelajaran koperatif
b)  Pembelajaran kolaboratif
c)  Pembelajaran Anjal
d)  Pembelajaran Bersepadu

e)  Pembelajaran Aktif
f)   Pembelajaran Reflektif


a)       Strategi  Pembelajaran  Koperatif
Pembelajaran koperatif adalah satu pendekatan pembelajaran yang melibatkan kumpulan atau pasukan pelajar. Ia menggunakan.strategi rangkaian komputer untuk menyiapkan tugasan yang bebas daripada kekangan masa, jarak dan tempat. Konsep kerjasama dan dalam kumpulan telah diperkenalkan oleh Johnson dan Johnson (1991) dan Salvin (1983). Mereka percaya bahawa pelajar yang belajar secara bekerjasama dalam kumpulan akan dapat belajar dengan lebih baik dan berupaya meningkatkan prestasi mereka. Menurut Steven , mendapati bahawa pembelajaran koperatif telah dapat meningkatkan motivasi pelajar semasa perbincangan dalam kumpulan. Hasil dari peningkatan motivasi yang ditunjukkan ia akan menyebabkan pelajar lebih berminat kepada perisian yang sedang dipelajari. Melalui pendekatan koperatif juga  pelajar dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama . Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk   rakan-rakan yang lain.
Melalui perisian kursus bertajuk perkakasan komputer ini ,pelajar  akan  dapat  melaksanakan aktiviti pembelajaran yang meliputi ,
       a.  saling bergantung antara satu sama lain secara positif.
       b.  saling berinteraksi secara bersemuka.
       c.  akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri.
       d.  kemahiran koperatif.
       e.  pemprosesan kumpulan
Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing -masing  dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Ia juga akan menggalakkan pelajar berinteraksi secara aktif dan positif dalam kumpulan  Cara pembelajaran yang melibatkan interaksi atau penglibatan individu  ini  menyumbangkan kadar pemahaman yang tinggi. Pembelajaran secara aktif ini  akan memberikan  kesan yang lebih berbanding pembelajaran secara pasif . ganjaran akan diberi kepada individu dan kumpulan  dalam aktiviti yang dijalankan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam,  sesuai dengan falsafah konstruktivisme.  

b) Strategi Pembelajarn Kolaboratif
Pendekatan ini menekankan proses penyiasatan dan inkuiri. Dalam pembangunan perisian PPBK  perkakasan komputer ini, pelajar akan melibatkan diri dalam aktiviti menjawab soalan terbuka supaya kemahiran inkuiri boleh dibina.  Pendekatan ini akan membolehkan pelajar  berpeluang untuk  menambahkan pengetahuan dan kefahaman  dan pada masa yang sama membina kemahiran menyiasat. Semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran  berjalan, interaksi berlaku di antara pelajar dengan  perisian , pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan tenaga pengajar. Schrage (1990) menyatakan  pembelajaran kolaboratif melebihi aktiviti bekerjasama kerana ia melibatkan perkongsian hasil penemuan dan hasil yang didapati daripada pembelajaran baru. Menurut Jonassen (1996), pembelajaran secara kolaboratif dapat membantu pelajar membina pengetahuan yang lebih bermakna jika dibandingkan dengan pembelajaran secara individu. Dengan menjalankan aktiviti dan projek pembelajaran secara kolaboratif secara tidak langsung  kemahiran-kemahiran seperti bagaimana berkomunikasi akan dipelajari oleh pelajar.
c)  Pembelajaran Anjal
 Pengajaran dan pembelajaran menggunakan perisian PPBK perkakasan komputer ini  tidak semestinya dijalankan pada jadual waktu rasmi. Pembelajaran anjal melibatkan masa pelajar belajar dan kurikulum harus dirancang dengan sebaiknya disamping mewujudkan jadual waktu anjal.  Dalam kaedah pengajaran pendidik  perbezaan pelajar itu sendiri amat perlu diambil kira.  Penggunaan perisian PPBK perkakasan  komputer ini boleh digunakan oleh pelajar diluar waktu rasmi  ,ataupun diluar waktu pembelajaran kelas biasa. Ini memberikan ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk belajar dan meneroka ilmu pengetahuan baru disamping dapat membantu mengukuhkan kefahaman yang telah dipelajari semasa di kelas.  Pelajar juga dapat  maklumbalas dengan cepat dan positif  daripada komputer , keadaan ini akan menimbulkan keseronokan belajar kerana mereka mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran .Ini dapat meningkatkan motivasi pelajar.
d) Pembelajaran Bersepadu
Sistem Pembelajaran Bersepadu ialah pendekatan pembelajaran yang menggunakan rangkaian komputer. Penggunaan perisian PPBK perkakasan komputer ini juga  memenuhi kehendak  dan keperluan bahan yang berasaskan komputer dan media sokongan yang  memenuhi keperluan pembelajaran individu  dan mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan. Dalam pembelajaran ini, sistem instruksi, pembelajaran dan pengurusan, dikendalikan oleh komputer menggunakan rangkaian komputer (Yusup & Razmah, 1999)
e)   Pembelajaran Aktif
Pelajar secara aktif  di dalam aktiviti pembelajaran  contohnya, dalam aktiviti  mengenalpasti komponen-komponen utama dalam sistem komputer dan fungsi setiap komponen berkenaan  . Pelajar akan dapat  membuat penerangan mengenai komponen-komponen tersebut  sepertimana yang telah dipelajari sebelumnya  melalui demonstrasi yang ditunjukkan kepada mereka. Melalui penglibatan secara aktif ini penekanan pembelajaran dapat diberikan kepada pemikiran konstruktif oleh semua pelajar, dengan aktiviti biasanya tertumpu kepada pembinaan pengetahuan dan kemahiran baru . Proses pemindahan dan penerimaan maklumat hanya akan berlaku melalui penglibatan pelajar secara aktif. Pelajar akan dapat menterjemahkan konsep yang dipelajari melalui latihan susulan yang diberikan kepada mereka.
f)       Pembelajaran Reflektif.
Pembelajaran reflektif membantu pelajar mempelajari bagaimana menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, pembentukan dan pemahaman konsep, inkuri dan kesedaran diri,mengenal pasti andaian yang melandasi sesuatu, menilai ketepatan andaian, kesimpulan dan pegangan, menaakul perbezaan moral dan etika.Pelajar akan mengingat dan mengkaji semula beberapa langkah mengenai beberapa teknik yang telah dipelajari.  Contohnya  dalam aktiviti membuka dan memasang beberapa komponen perkakasan komputer beberapa urutan kerja perlu difahami  oleh pelajar sebelum melaksanakan proses yang sama berikutnya.




PERANAN VIDEO DALAM PENDIDIKAN


Penggunaan video sebagai bahan bantu mengajar memberikan satu pengalaman baru kepada sebilangan pelajar. Media video dan televisyen dapat membawa pelajar ke mana-mana sahaja, terutama sekali jika tempat atau peristiwa yang ditayangkan itu terlalu jauh untuk dilawati, atau merbahaya.
Dengan penayangan video, pelajar dapat merasa seolah-olah mereka berada atau turut serta dalam suasana yang digambarkan. Sebagai contoh, proses penjanaan elektrik dapat ditunjukkan kepada pelajar melalui video. Ianya dapat membantu pelajar membayangkan cara kerja stesen janakuasa elektrik di samping memberi pengalaman kepada para pelajar secara visual. Menurut Norizan (2002) di dalam Norhaziana (2005), beliau menyatakan bahawa sesuatu media berbentuk simulasi adalah perisian yang memberi gambaran situasi sesuatu keadaan. Pengguna akan seolah-olah berada di tempat kejadian dan boleh bertindak balas terhadap keadaan tersebut.
Video juga dapat membantu dalam mengubah sikap seseorang pelajar. Seringkali video digunakan sebagai agen pemujuk dan ianya lebih berkesan jika dibandingkan dengan kaedah syarahan. Sebagai contoh dalam mengajar pelajar mengenai gula dalam diet. Contoh yang menunjukkan kesan daripada mengambil makanan yang mengandungi terlalu banyak gula dapat membantu pelajar mengubah sikap untuk mengurangkan pengambilan gula dalam diet mereka.
ISU-ISU APLIKASI VIDEO DALAM PENDIDIKAN
Seiring dengan perkembangan multimedia dalam pendidikan, video telah menjadi salah satu media yang popular dikalangan pendidik. Gabungan elemen  mutimedia seperti teks, grafik, dan audio terbukti dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Antara isu yang berkaitan dengan aplikasi video dalam pendidikan ialah kebaikan penggunaan video dalam pengajaran dan pembelajaran, di mana ianya dapat meransang deria penglihatan dan pendengaran. Selain daripada itu, pengukuhan pembelajaran dapat dilakukan melaui ’gerak perlahan’ dan pegun. Pengalaman luar yang sukar juga dapat dibawa masuk ke dalam kelas. Masalah utama dalam aplikasi video di sekolah juga menjadi salah satu isu berkaitan media ini. Antaranya ialah masalah peralatan yang tidak mencukupi kerana kos pengurusan dan kewangan sekolah yang kurang. Masa juga menjadi salah satu masalah yang dibangkitkan di mana peruntukannya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran terhad. Masalah guru kurang berkemahiran dalam mengendalikan video semasa proses pengajaran dan pembelajaran juga menjadi salah satu isu aplikasi media ini.

Pertandingan Bercerita

Friday 27 April 2012

ANJUNG MATEMATIK: Petak Sifir

ANJUNG MATEMATIK: Petak Sifir

Rakan Sebaya

Semalam teman ada mengantikan kelas Matematik tahun 3. Biasalah ......tentunya gurunya tidak hadir. kesempatan teman gunakan untuk mengajar mereka.

beginilah rupanya bila jadi guru ganti.... kawan sebaya jadi cikgu untuk mengajar rakan lain.


Memang seronok mereka dapat jadi cikgu.....


Lebih gembira...bila rakan faham..

Inilah hasil dari 'pengajaran' dalam kelas tadi.

Hasil kerja yang memberangsangkan.




Thursday 26 April 2012

Wartikah Pelantikan Pengawas

Pada 26 Mac lalu, sekolah teman telah mengadakan penyampaian wartikah dan perlantikan pengawas scara rasminya. Bukan ape.....dulu tu sebagai percubaan jer...bila dah puashati dengan pencapaian murid ni..baru le kita lantik. Orang kata baru ada kualiti.

Guru Besar menyerahkan  wartikah dan surat perlantikan kepada pengawas.







Acara angkat sumpah sebagai pengawas dilakukan di hadapan Guru Besar.

Sunday 22 April 2012

Teknologi Maklumat

 Definisi teknologi maklumat

Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya, penggunaan computer dan perisian adalah untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

· Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa

Pengintegrasian teknologi malkumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan korpus berkomputer untuk mencari perkataan dan ayat yang berkaitan.

PERNYATAAN MASALAH

Penggunaan komputer atau bahan teknologi maklumat merupakan satu wadah baru yang di bawa ke dalam dunia pendidikan. Oleh itu, terdapat kelemahan-kelemahan yang timbul akibat daripada kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusan. Justeru itu, kajian ini ingin membincangkan permasalahan dalam proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa. Perkara-perkara yang menjadi tumpuan dalam kajian yang berkaitan permasalahan pengintegrasian dalam pengajaran bahasa antaranya,
· Tahap kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat. Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran pada masa kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi guru guru.
Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa, pembelajaran dari segi pencarian maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topic dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar dengan menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui komputer, internet dan sebagainya.
Dapat kita perhatikan bahawa, penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan dalam sesuatu perkara, oleh yang demikian, pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah terdapat beberapa kekangan yang perlu di ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT, oleh itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya di kalangan pelajar

Saturday 21 April 2012

Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik

1.    Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.
2.    Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama.

Contoh : cantik     = indah
             Hangat  = panas
             Percaya = yakin

3.    Antonim merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan.

Contoh : langit   lawannya bumi
             Panas lawannya sejuk
             Kuat   lawannya lemah

4.    Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam strukturmakna.

Contoh : perabot (mempunyai makna umum)
             Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus)

Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa.

5.    Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.

Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah.






6.    Polisim ialah satu perkataan yang mempunyai makna yang banyak atau satu set makna.

Contoh : kata mentah mempunyai set makna yang berikut :

Masih muda (untuk buah-buahan)
Tidak masak (masakan)
Belum masak (makanan)
Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)

7.    Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza.

Contoh : daki : kotoran yang melekat pada badan
             Daki : memanjat (gunung, bukit)
            
8.    Homonim terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna. Contoh : masa dan (media) massa.

Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)
             Perang (war), perang (warna blonde)

Thursday 19 April 2012

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN DAN PERUNDANGAN MALAYSIA

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, keperluan untuk mempunyai satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan serta lambang identiti dan citra negara amat mendesak. Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia 1970: 222) memperuntukkan:
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang Parlimen.

Namun demikian, penduduk Malaysia mempunyai kebebasan menggunakan bahasa-bahasa lain dalam urusan tidak rasmi serta mempelajari bahasa-bahasa tersebut (Malaysia 1970: 222 - 223). Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang disemak pada 1971 pula memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu digunakan bagi semua maksud-maksud rasmi.
Tegasnya, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 162/167 (disemak pada tahun 1971) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa rasmi di negara Malaysia. Bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, telah dijadikan asas pembinaan negara, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri negara bangsa, sebagai bahasa perpaduan kaum, sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara, dan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara Malaysia.
Akta Pelajaran 1961 yang menjadi kerangka rujukan pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara sehingga digantikan oleh Akta Pendidikan 1996, dibentuk berasaskan syor-syor Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Akta Pelajaran 1961 memperuntukkan beberapa perkara tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah. Antaranya ialah penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah dan mata pelajaran bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah rendah, menjadikan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran mata pelajaran yang wajib dipelajari di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan sekiranya munasabah dan praktikal dan sekiranya ibu bapa lebih daripada lima belas orang murid memohon kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil boleh diadakan; menjadikan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di semua sekolah menengah kebangsaan, manakala bahasa inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib; dan pengajaran bahasa kebangsaan adalah wajib bagi semua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Bahasa Cina dan Tamil boleh diajar sekiranya praktikal dan munasabah, dan sekiranya lebih daripada lima belas orang ibu bapa murid memohon.
Berdasarkan hakikat di atas, ternyata bahawa peruntukan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan yang temyata secara eksplisit dalam Akta Pelajaran 1961 menetapkan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Sementara itu, bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib. Hasrat ini adalah selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Pada akhir 60-an dan awal 70-an, telah berlaku perkembangan pesat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik di Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, perisytiharan Rukun Negara pada 1970, dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada1973 telah mendorong kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Justeru pada 1974 sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dan laporannya diterbitkan pada 1979. Tujuan Jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji sama ada Sistem Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum pada masa itu dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat yang diperlukan oleh negara dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang, serta sama ada sistem pendidikan kebangsaan dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979:1)
Jawatankuasa Kabinet (1979) yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed memperakui peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi utama. Jawatankuasa ini juga berpendapat bahasa Melayu wajar menjadi bahasa ilmu pengetahuan, bahasa lingua franca bagi keseluruhan negara dan bahasa perpaduan. Oleh itu, pengajaran bahasa Melayu di sekolah mestilah berlandaskan objektif yang berkaitan peranan tersebut (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 85). Jawatankuasa itu memperakui pengajaran bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib pada semua peringkat, jenis sekolah dan kelulusan dalam mata pelajaran itu dijadikan syarat untuk mendapat kelulusan dalam peperiksaan awam (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 84).
Pada tahun 1996, Akta Pendidikan 1961 telah dikaji dan diteliti. Satu Akta Pendidikan baru telah digubal bagi memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan supaya sejajar dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Akta Pendidikan 1996 (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 1998a) memperakui bahawa kemajuan negara dari segi ekonomi, sosial, rohani dan etika perlu dicapai melalui satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama serta menggunakan satu bentuk kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama.
Di samping itu, perakuan-perakuan Akta Pendidikan 1996 juga memberi maksud bahawa sebagai sistem pendidikan di negara maju, Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia perlu berkemampuan untuk melengkapkan pelajar dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan keterampilan yang diperlukan dalam negara maju, di samping mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik dan dinamik. Kualiti pendidikan yang dihasilkan melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan pula perlulah bertaraf dunia. Justeru bahasa Inggeris terus dijadikan bahasa kedua dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, di peringkat sekolah menengah bahasa Arab, Jepun, Jerman atau Perancis dan bahasa asing asing lain juga diajar.
Status dan kedudukan pendidikan bahasa Melayu dalam Akta Pendidikan 1996 ternyata di bawah bahagian Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dalam seksyen 15 dan 16 Akta Pendidikan 1996, diperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Sistem ini meliputi tiga kategori institusi pendidikan, iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di sekolah Jenis Kebangsaan ataupun mana-mana institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan (Lembaga Penyelidikan Undang-undang 1998a: 25). Institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan perlu mengajarkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib. Tegasnya, Akta Pendidikan 1996 adalah anjakan paradigma bagi Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini memperluas skop Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan bagi meliputi semua peringkat persekolahan dan kategori sekolah. Di samping itu, Akta ini juga memberi kelonggaran kepada institusi pendidikan swasta yang terangkum dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan menggunakan bahasa lain sebagai bahasa pengantar sekiranya diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan.
Pada 1996, Kementerian Pendidikan juga mewujudkan satu Akta Pendidikan khusus untuk pendidikan swasta yang dikenali sebagai Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), bertujuan untuk mengawal selia segala aspek tentang pendidikan swasta, termasuklah aspek penubuhan, pendaftaran, pengurusan, pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan. Keadaan ini dianggap perlu kerana institusi pendidikan swasta memainkan peranan sebagai pelengkap kepada pendidikan di sektor awam bagi memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau yang menghasilkan pendidikan yang kualitinya bertaraf dunia (Najib 1996).
Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di institusi pendidikan tinggi swasta. Walaupun demikian, Akta itu juga memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk memberi pengecualian kepada institusi pendidikan tinggi swasta tertentu dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai pengantar utama.
Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta (1996) hangat dibincangkan oleh ahli-ahli bahasa dan cendekiawan Melayu pada akhir abad ke-20. Mereka berpendapat pelaksanaan Akta itu akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan (Zainal Abidin 1996; Shahrir 1996; Abdullah 1996; Hassan 1996; Nik Safiah 1996; Abdul Rahim 2000; Abdul Ghani 2000).
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pelajaran 1961 berhasrat untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar ilmu di institusi pendidikan. Bahasa Melayu sekaligus diharap dapat memainkan peranan tersirat sebagai bahasa pemersatu dan lambang jati diri masyarakat Malaysia yang merdeka.
Sementara itu, Akta Pendidikan 1996 perlu dianggap sebagai suatu anjakan paradigma kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini membenarkan kewujudan satu lagi aliran pendidikan dalam sistem kebangsaan iaitu pendidikan swasta yang membolehkan bahasa Inggeris dan bahasa lain berperanan sebagai bahasa pengantar sekiranya mendapat kebenaran Menteri Pelajaran. Peruntukan ini adalah suatu penyimpangan daripada dasar bahasa dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang unggul yang dilaksanakan pada tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu dan bahasa pengantar ilmu tidak lagi dianggap sebagai yang terutama. Ini menimbulkan suatu kekeliruan sehinggalah agenda untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu tidak mampu tiba ke garis penyelesaian. Akhir-akhir ini dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global, kerajaan telah melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris 2003. Dasar sedemikian menekankan kepentingan bahasa Inggeris mengatasi kepentingan bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, pada Julai 2009 kerajaan telah memutuskan kedua-dua mata pelajaran akan kembali diajar dalam bahasa Melayu pada 2012.

Sunday 15 April 2012

Petua Mak Nenek

Melembutkan Daging
Ada beberapa cara untuk melembutkan daging. Antaranya ialah :
1.     Ramai surirumah mengeluh kerana daging yang mereka masak tidak empuk. Untuk mengatasinya, rebus daging dengan satu cawan air kelapa hingga lembut. Kemudian masak seperti biasa.
2.     Tumbuk halia dan camprkan sedikit garam. Perapkan bahan ini dengan daging kira-kira setengah jam. Kemudian bilas dengan air dan bolehlah dimasak seperti biasa.
3.     Masukkan beberapa ketul air batu ke dalam bekas yang berisi daging. Biarkan seketika kemudian cuci. Daging akan cepat empuk.
4.     Rebus daging bersama akar daun pandan yang telah dicuci bersih. Kemudian masak daging seperti biasa.
Melembutkan Perut Lembu
Memasak perut lembu mengambil masa yang agak lama. Cara yang paling berkesan ialah masukkan sudu kaca ke dalamnya sewaktu merebus.
Membersihkan Barang Kemas
Ada beberapa cara untuk membersihkan barang kemas. Di sini dipaparkan dua cara untuk membersihkan barang kemas.
1.     Rendam barang kemas dalam air suam selama satu jam. Kemudian berusnya dengan ubat gigi menggunakan berus gigi yang lembut. Gosoklah sehingga dakinya hilang. Kemudian cuci dan rendamkan dalam air teh selama beberapa jam. Kemudian keringkan.
2.     Rendam barang kemas dalam air asam jawa dan biarkan semalaman. Kemudian gosok menggunakan ubat dan berus gigi.
Cili Jeruk Tahan Lama
Celurkan cili yang telah dihiris ke dalam air panas. Biarkan semalaman. Toskan airnya sehingga kering. Kemudian campurkan sedikit cuka, air masak dan masukkan ke dalam bekas yang bertutup.

Cili Kisar Tahan Lama
  • Buang biji cili kering terlebih dahulu dan rendam semalaman.
  • Kisarkan sehingga hancur. Rebus bersama sekit minyak masak sehingga kering.
  • Apabila sejuk, masukkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti sejuk.
Masakkan cili dengan air dan sedikit garam. Setelah sejuk bolehlah dikisar hingga hancur. Simpan dalam peti sejuk.

Menghancurkan Biji Cili
Kita sering menghadapi masalah untuk menghancurkan biji cili setelah dikisar:-
  • Masukkan cili dan bahan-bahan lain ke dalam balang pengisar.
  • Tuangkan sedikit minyak masak ke dalam balang pengisar tadi.
  • Kisar sehingga semuanya hancur.