Sunday, 15 April 2012

Kata Majmuk

Bentuknya
1)      Kata majmuk ialah gabungan dua atau lebih daripada dua patah kata untuk satu kata baru
2)      Kata majmuk dapat dibentuk daripada dua patah kata yang sama kelasnya atau daripada dua patah kata yang berlain kelasnya
3)      Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya tersendiri. Contohnya air dan mata yang menjadi komponen kata majmuk air mata. Kata majmuk mempunyai maknanya masing-masing. Makna air mata ialah air yang meleleh dari mata apabila menangis.
4)    Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama. Contohnya cantik jelita bermakna sangat cantik, hancur lebur bermakna hancur sama sekal, sunyi sepi bermakna sangat sunyi
5)      Dua patah kata yang sama atau hampir same maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan
6)      Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang
7)      Kata majmuk dapat dibezakan bentuk kata majmuk daripada bentuk kata ganda yang dieja bersempang kecuali kata ganda separa seperti bebawang, jejari
8)      Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terccantum ialah antarabangsa, apabila, bagaimana, bumiputera, daripada, demikian, jawatankuasa, jurumudi, kadangkala, kakitangan, olahraga, pesuruhjaya, setiausaha, tandatangan, tanggungjawab, warganegara, manakala, dan walaupun
9)     Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terpisah ialah tanah air, air mata, buah pinggang, campur tangan, daun pintu, ganti rugi, dan hak cipta

Tugasnya
1)      Kata majmuk mempunyai dua tugas iaitu:
a)      Menetapkan kelas kata dasar. Contohnya
Air – mata = air mata
Lemah – lembut = lemah lembut
Mogok – duduk = mogok duduk
Dari – pada = daripada
Apa – bila = apabila
b)      Mengubah kelas kata dasar. Contohnya
Alim – ulama = alim ulama
Gulung – tikar = gulung tikar
Lalu – lintas = lalu lintas
Cerdik – pandai = cerdik pandai

Maknanya
1)      Kata majmuk dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu
a)      Kata majmuk wajar
b)      Kata majmuk kiasan
2)      Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya yang yang maknanya dapat diketahui daripada makna kata-kata yang menjadi komponennya. Contohnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur
3)      Kata majmuk kiasan ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya. Contohnya, buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kena-mengena dengan buah ataupun hati. Makna buah hati ialah kekasih yang dicintainya bukan buah yang bernama hati


Beberapa Contoh Kata Majmuk Wajar

Abuk gergaji         Dengki hati           Jagat raya             Minyak makan
Adapt istiadat       Emas putih           Juling air              Naik taktha
Alih bahasa          Gagah berani         Kaca mata            Olahraga
Bahasa pasar       Gunung berapi        Kerak bumi          Orang gaji
Bakul sampah      Halwa maskat         Kolam renang       Orkes ghazal
Batang hidung      Hitam manis           Kongsi gelap        Rabun jauh
Cacar air              Hancur lebur          Kuning langsat     Pagar duri
Cakera padat        Hijau laut               Lempar cakera     Sabun mandi
Damar batu          Cantik jelita            Harga borong       Lampu tidur
Ruang angkasa     Ikan parang           Tahan lasak          Udang galah
Darma siswa        Inti sari                   Mabuk laut           Uji kaji
Daya cipta            Isi perut                 Merah jambu        Wang saku
Rabun dekat        Buah tangan            Air laut


Beberapa Contoh Kata Majmuk Kiasan

Akal kancil           Emas kahwin                 Isi hati                  Nyawa ikan
Anak angkat         Anak emas                    Gaji buta              Jauh hati
Otak udang          Gambar hidup               Kucing miang       Pacat kenyang
Anak kunci           Gatal mulut                    Kakitangan           Panas hati
Batu loncatan       Gunung payung             Lemah semangat  Panjang tangan
Cepat tangan        Banyak mulut                Habis akal            Main angin
Mulut murai          Patah hati                      Buah mulut          Hajat besar
Pasar gelap           Bulan madu                  Halwa telinga       Malam buta
Cahaya mata        Harga diri                      Mandi keringat     Rendah hati
Campur tangan    Ibu ayam                        Bapa ayam           Naik darah
Sampai hati         Cekak musang               Intan baiduri          Nikah gantung
Tangan besi            Naik angin                      Buah Hati   

Tuesday, 10 April 2012

MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU

MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU
KE SEKOLAH TIDAK JEMU MENGAJAR TIDAK LESU

"The mediocre teacher tells. the good teacher explains.
The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires."
~ William A. Ward

Pendahuluan:

Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara.
Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?
Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24).

Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena "Low Performing Schools"?
Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%
Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesanan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita.
Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan

Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
•             Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
•             Belajar untk membuat (Learning to Do)
•             Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
•             Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together)

Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
•             Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.
•             Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.
•             Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.
•             Tema 4: Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah
                              kesesuaian dengan perubahan.
•             Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi
                                pembelajaran (learning organization).
•             Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan
                               infrastruktur bekerja belajar.

Kewibawaan yang Dipersoalkan

Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.
Salah satu daripada tiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

Saturday, 31 March 2012

Bagaimana Bahasa Melayu Menyatupadukan Rakyat

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan  bahasa pengantar utama bagi semua peringkat prasekolah dan pengajian. Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.
Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya  sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala  bidang  ilmu dan kegiatan harian  selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat.
Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah yang meliputi Tingkatan 1 hingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan pelajar remaja dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa di dalam pelbagai situasi, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan.
Pemupukan semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia diberi penekanan di dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah agar pelajar-pelajar membina semangat rasa bangga dan cinta akan tanah air di dalam satu wawasan budaya yang dihasratkan.
Di samping itu juga, bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara  maju mengikut acuan sendiri. Selain itu juga, pendidikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan di dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara automatiknya, bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil bahagian di dalam isu menyatupadukan rakyat kerana bahasa Melayu itu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di pelbagai bidang.
Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan  hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara di dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Perpaduan rakyat  atau pembentukan satu negara bangsa  dapat dicapai melalui sistem pendidikan. Oleh itu, perpaduan rakyat dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni  seperti saling menghormati  antara satu sama lain  tidak mengira bangsa dan agama. Secara faktanya, sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai  menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Selain itu, penyatupaduan rakyat dapat mewujudkan  sistem pendidikan kebangsaan  kerana sistem persekolahan yang berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.
Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Selain itu, bahasa Melayu juga dapat membantu pembentukan  jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni; seperti yang tercatat di dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk telah mewujudkan  masalah polarisasi  kaum terutamanya  di kalangan pelajar.  Masalah polarisasi kaum di kalangan pelajar, jika tidak dibendung akan menimbulkan  implikasi yang kurang sihat terhadap negara.
Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Pemisahan kaum antara pelajar-pelajar boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Para pelajar tentu sukar bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka, jika setiap kaum mengutamakan bangsa sendiri. Hal ini akan menimbulkan pula prasangka dan salah faham yang pasti merenggangkan hubungan pelajar. Antara faktor yang menimbulkan situasi tersebut ialah perbezaan kebudayaan dan corak hidup, di samping mengamalkan dan menganuti kepercayaan yang berbeza dan bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.
Sesungguhnya gejala tidak sihat ini perlu dihapuskan demi perpaduan dan masa depan negara. Para pelajar perlu digalakkan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlain bangsa dan kaum. Benih-benih perpaduan  perlu disemai di dalam jiwa pelajar semasa berada di bangku sekolah.
Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat di negara ini dapat dilaksanakan melalui aktiviti kelab dan persatuan Bahasa Melayu di mana pelajar atau orang ramai dapat berinteraksi di antara satu sama lain di dalam komuniti tersebut. Mereka juga dapat berpeluang  memupuk nilai-nilai murni  seperti kerjasama dan semangat kekitaan. Aktiviti seperti minggu bahasa kebangsaan, majlis deklamasi sajak, berbalas pantun, syarahan dan pidato antara kaum dan antara pelajar boleh  meningkatkan perpaduan sesama mereka. Semua aktiviti ini harus melibatkan semua kaum yang ada di negara ini.

Saturday, 24 March 2012

Sambutan Maulidur Rasul

SK Kampung Kenang telah mengadakan sambutan maulidur rasul peringkat sekolah. Murid-murid telah mengadakan perarakan mengelilingi kampung sambil berselawat. Seramai 196 orng pelajar telah terlibat dalam sambutan ini. 




Guru Besar serta guru-guru  bersama  pelajar.



Rombakan beri faedah kepada semua pelajar

2012/03/17

Pelan pembangunan pendidikan mentransformasi generasi muda

KUALA LUMPUR: Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.
Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Mac 2012

Contoh soalan matematik tahun 3 kertas 2

Dapatkan contoh soalan matematik tahun 3 kertas 2 di SINI

Semoga dapat membantu

Sunday, 18 March 2012


Puisi : Guru Oh Guru 

(SN Usman Awang)
Guru Oh Guru ..................
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang
Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru
yang diselenggarakan oleh Zam Ismail
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989

Petua Mak Nenek


Legakan Sakit kepala
Sakit kepala boleh dihilangkan dengan cara mengambil daun lemuni hijau lebih kurang sekilogram dan dimasukkan kedalam sarung bantal. Kemudian tidurlah diatasnya selama dua tiga hari. InsyaAllah sakit kepala anda akan berkurangan dan anda akan berasa segar.

Kurangkan kadar kolestrol
Perah sedikit lemon dan campurkan dengan secamca teh minyak zaitun. Amalkan meminumnya dua atau tiga hari sekali atau setiap kali mengmbil makanan berkolestrol tinggi. InsyaAllah kesannya akan dapat dirasai dalam masa seminggu.Ia juga dapat menghilangkan pembentukan selulit.


Kulit Berkedut
Ambil sebatang lobak merah , bersihkan dan parut, setelah itu campurkan sebiji kuning telur dan secamca besar tepung jagung. Bahan ini dikacau hingg sebati , setelah itu bolehlah dilumurkan pada kulit muka. Lakukan sekali sehari pada waktu malam. Cucilah muka ketika hendak tidur dengan air suam. Amalkan Selalu insyaallah berkesan.

Sakit Gigi
Ambil sebatang serai dan titik bahagian hujungnya.Salai seketika diatas api dan sewaktu masih suam , gigit pada tempat sakit. InsyaAllah sakit akan berkurangan.

Senggugut
Ambil sembilan biji pinang tua , dibakar hingga menjadi arang dan ditumbuk halus. Campurkan dengan secawan air suam dan minum. Amalkan petua ini sembilan hari berturut-turut dari hati mula kedatangan haid. InsyaAllah mujarab.

Petua Menghentikan Pendarahan
Ambil tembakau rokok dan tekapkan pada bahagian yang berdarah. Waktu menekapkannya pada luka hindarkan dari terkena air. Hasilnya , insyaAllah darah akan berhenti mengalir dan luka tidak lagi terasa sakit.
Turunkan suhu Badan Bayi
Gunakan 3 jari tangan anda (ibu jari , telunjuk dan jari hantu), baca bismillah dan selawat 3 kali. Masukkan 3 jari tersebut kedalam beras. Genggam dan lepaskan beras dari genggaman kedalam secawan air masak. Biarkan beras yang melekat pada ketiga jari itu, dan makan beras tersebut. Gunakan air yang bercampur dengan beras tadi untuk disapukan kebadan bayi. InsyaAllah suhu badanbayi akan berkurangan.

Friday, 16 March 2012

Sejarah Bahasa Melayu


Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.  Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand , Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.