Mungkin
suatu masa nanti kata-kata itu akan menjadi dendangan yang cukup muluk untuk
menghiburkan hati anak cucu. Ia menjadi seperti tarian lelaki-lelaki Gypsy di
Eropah yang menggambarkan keperwiraan nenek moyang mereka tatkala masih di
benua kecil India. Ia diiring melodi yang penuh bersemangat; cukup untuk
menyebabkan Gypsy-Gypsy yang menontonnya terlupa bahawa mereka adalah bangsa
yang tidak lagi mempunyai negeri!
‘Melayu
sebenarnya bangsa yang besar!’
Para
pemimpin kita, datuk nenek kita, bijak pandai kita tidak pernah jemu-jemu
mengulang frasa itu. Asal ada konvensyen, ada seminar, ada tempat untuk
berucap, ada kertas untuk ditulis, ada ruang untuk bercakap dan ada orang
bersedia mendengar, mereka akan mengulangi, atau setidak-tidaknya
menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.
menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.
Tujuannya
amat jelas. Mereka bermaksud untuk membangkitkan semangat bangsa mereka. Mereka
mahu kita sama-sama sedar bahawa Melayu bukannya bangsa kecil yang boleh
diperlekehkan. Melayu pernah gemilang. Melayu pernah hebat. Melayu pernah
menjadi kuasa yang disegani dan digeruni.
Dasar
pandang belakang ini dalam banyak keadaan memang membawa kebaikan. Setakat
sekarang ia berjaya menghidupkan jiwa orang Melayu. Mampu mencetuskan semangat
untuk ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi
besar seperti dahulu.
Tetapi
kekerapan melihat ke belakang juga kalau tersilap diamalkan boleh mendepankan
orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin lupa pada apa yang ada di
depan. Mereka mungkin lupa untuk mengimbangkan antara kegemilangan silam dengan
kemungkinan-kemungkinan yang bakal mendatang.
Di
sinilah dilemanya sekarang. Dalam ghairah mengejar kegemilangan, yang pernah
dimiliki tetapi kemudian hilang itu, Melayu sering lupa tempat berpijak dan
berdiri. Dengan perkataan lain, Melayu mudah lupa diri.
Kenapa
ini terjadi?
Jawapannya
mungkin berbagai, tetapi satu di antara yang penting ialah, Melayu sebenarnya
tidak kenal diri dan bila seseorang itu tidak kenal dirinya jangan hairanlah
jika ia mudah kehilangan hala dan arah.
Cubalah
buat kajian rambang, berapa kerat Melayu yang tahu asal keturunannya?
Tidak ramai. Kebanyakan Melayu
cuma tahu salasilah keluarganya sehingga ke peringkat moyangnya sahaja. Jarang
yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu generasi siber ini,
ada yang sudah tidak tahu nama datuk atau neneknya sendiri. Satu faktor yang
memungkinkan kenapa orang Melayu tidak begitu berminat untuk menjenguk ke akar
umbi keluarga dan keturunannya ialah soal assabiyah. Sebagai penganut Islam
yang taat, orang Melayu mungkin beranggapan, membanggakan keturunan adalah satu
unsur assabiyah – unsur yang ditolak oleh Islam kerana nilai puak dan
kesukuannya.
Tetapi Melayu yang bijak
sepatutnya melihat assabiyah dalam konteks yang lebih luas, bukannya
asabiyah-jahiliyah. Kita tidak menganjurkan mereka menjadi pengamal jingo
nasiolisme yang serba sempit. Menyayangi dan menghargai keluarga serta
keturunan sendiri tidak harus disamakan dengan orang lain yang lebih berhak.
Kerana tidak menghargai keluarga
dan keturunan, Melayu juga akhirnya tidak mempedulikan sangat asal bangsanya.
Mereka seringkali tidak pernah mahu tahu dari mana orang Melayu bermula.
Sehingga sekarang amat sedikit sarjana Melayu yang mahu mengembara mencari
titik mula bangsanya. Kebanyakan mereka lebih sibuk dengan agenda politik
semasa. Menyiapkan kertas kerja bagi sebuah projek perdana sentiasa dianggap
lebih baik daripada menyempurnakan kajian tentang salasilah bangsa sendiri.
Sampai sekarang, apabila
bercakap tentang asal usul orang Melayu masih kabur dan keliru. Ada yang
percaya bangsa sawo matang ini asalnya dari Yunnan dan tidak kurang yang
percaya ia bermula dari pulau-pulau di Tenggara Asia. Yang mengaitkan Melayu
dengan keturunan Iskandar Zulkarnain di Mecadonia pun ada. Dalam pada itu ada
pendapat lain menyatakan manusia Melayu sebenarnya bermula di sini, di bumi
ini, bukannya di tempat-tempat lain. Pendeknya, tidak ada satu pun yang jelas.
Lakukanlah
kajian yang sama ke atas mereka yang bukan Melayu. Kebanyakan keluarga Cina
mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak
menyimpannya secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka
akan melakukannya.
Seorang
budak lelaki Cina barangkali boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya
dahulu meninggalkan Swatow dengan kapal yang sarat dengan ribuan penumpang
bersama keping keping siling di saku. Tetapi jangan terkejut jika banyak
budakbudak Melayu yang tidak tahu bagaimana bapanya mula merantau ke Kuala
Lumpur sepuluh atau lima belas tahun lalu.
Apakah
kesimpulan kasar yang boleh dibuat daripada kenyataan-kenyataan di atas?
Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.
Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.
Tidak
mengambil berat tentang susur galur keluarga adalah gambaran terhadap tidak
wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Dan orang yang tidak menghargai
keluarga sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana
bangsa sesungguhnya bermula daripada keluarga!
No comments:
Post a Comment