Friday, 2 November 2012

Johor pun ada dialek



Johor terkenal dengan suku-suku seperti Jawa, Bugis, Banjar, Melayu dan beberapa suku kecil yang lain. Keunikan ini telah memperlihat pelbagai budaya yang berbeza-beza. Antara keunikan-keunikannya adalah dari segi makanan, perayaan, adat dan kepercayaan. Saya sendiri daripada suku Bugis yang diperturunkan daripada keturunan sebelah ayah. Ibu saya pula campuran Jawa-Melayu. Oleh itu, serba sedikit saya mempelajari budaya kedua-dua suku.
     Di sini saya ingin berkongsi antara budaya-budaya yang ada di Johor. Apabila terdapat kenduri-kendara di kampung saya, saya bersama saudara-saudara dan orang kampung akan bekerjasama menjayakan kenduri itu. Selalunya di sini masyarakat memanggil gotong-royong itu dengan nama "rewang". "Rewang" ini termasuklah dalam kenduri perkahwinan, kenduri tahlil, upacara potong jambul mahupun upacara-upacara seumpamanya. Selain itu, dalam budaya Bugis, apabila tiba musim perayaan, makanan tradisi "burasak" dan "lepat" menjadi santapan utama. Namun, saya menetap di luar kebudayaan suku-suku ini. Apabila sesekali balik kampung dan bertandang ke rumah arwah atuk, barulah saya merasai budaya mereka yang sebenar.
     Dalam berbicara mengenai dialek, masyarakat Johor juga mempunyai dialek yang tersendiri. Walaupun masyarakat Johor dilihat banyak menggunakan bahasa baku, namun sesetengah tempat terdapat penggunaan istilah tertentu. Oleh itu, sesetengah masyarakat Johor juga tidak menggunakan bahasa baku sepenuhnya. Jeda dan struktur penyususnan kata juga mempunyai perbezaan dengan dialek negeri-negeri lain. Di sini, saya akan memberi contoh kata dan struktur ayat dialek Johor.
Contoh kata dialek Johor :
Almari - Gerobok
Selimut - Gebo
Selipar - Selipo
Kereta - Motoko (orang lama-lama dahulu)
Tukar - Tuko
Sabar - sabo

Contoh ayat :
Mak, tak pegi paso ke hari ni?
Emak tidak ke pasarkah hari ini?
Aku belom abis blajo lagi kat UPSI.
Saya belum habis belajar lagi di UPSI.

Adik aku slalu masok tido awal.
Adik saya selalu masuk tidur awal.

Akak  ngah bako sampah kat umah die.
Akak sedang bakar sampah dirumahnya.

     Oleh itu, variasi sesuatu bahasa itu hanya dikuasai oleh masayarakat yang mendiami kawasan tertentu. Namun, dari segi penggunaan iaitu dialek ini mungkin berbeza mengikut kumpulan sosial dan situasi yang digunakan.

No comments:

Post a Comment