Saturday, 28 April 2012
Friday, 27 April 2012
Rakan Sebaya
Semalam teman ada mengantikan kelas Matematik tahun 3. Biasalah ......tentunya gurunya tidak hadir. kesempatan teman gunakan untuk mengajar mereka.
beginilah rupanya bila jadi guru ganti.... kawan sebaya jadi cikgu untuk mengajar rakan lain.
Memang seronok mereka dapat jadi cikgu.....
Lebih gembira...bila rakan faham..
Inilah hasil dari 'pengajaran' dalam kelas tadi.
Hasil kerja yang memberangsangkan.
Thursday, 26 April 2012
Wartikah Pelantikan Pengawas
Pada 26 Mac lalu, sekolah teman telah mengadakan penyampaian wartikah dan perlantikan pengawas scara rasminya. Bukan ape.....dulu tu sebagai percubaan jer...bila dah puashati dengan pencapaian murid ni..baru le kita lantik. Orang kata baru ada kualiti.
Guru Besar menyerahkan wartikah dan surat perlantikan kepada pengawas.
Acara angkat sumpah sebagai pengawas dilakukan di hadapan Guru Besar.
Sunday, 22 April 2012
Teknologi Maklumat
Definisi teknologi maklumat
Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya, penggunaan computer dan perisian adalah untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
· Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa
Pengintegrasian teknologi malkumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan korpus berkomputer untuk mencari perkataan dan ayat yang berkaitan.
PERNYATAAN MASALAH
Penggunaan komputer atau bahan teknologi maklumat merupakan satu wadah baru yang di bawa ke dalam dunia pendidikan. Oleh itu, terdapat kelemahan-kelemahan yang timbul akibat daripada kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusan. Justeru itu, kajian ini ingin membincangkan permasalahan dalam proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa. Perkara-perkara yang menjadi tumpuan dalam kajian yang berkaitan permasalahan pengintegrasian dalam pengajaran bahasa antaranya,
· Tahap kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat. Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran pada masa kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi guru guru.
Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa, pembelajaran dari segi pencarian maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topic dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar dengan menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui komputer, internet dan sebagainya.
Dapat kita perhatikan bahawa, penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan dalam sesuatu perkara, oleh yang demikian, pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah terdapat beberapa kekangan yang perlu di ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT, oleh itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya di kalangan pelajar
Saturday, 21 April 2012
Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik
1. Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.
2. Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama.
Contoh : cantik = indah
Hangat = panas
Percaya = yakin
3. Antonim merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan.
Contoh : langit lawannya bumi
Panas lawannya sejuk
Kuat lawannya lemah
4. Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam strukturmakna.
Contoh : perabot (mempunyai makna umum)
Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus)
Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa.
5. Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.
Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah.
6. Polisim ialah satu perkataan yang mempunyai makna yang banyak atau satu set makna.
Contoh : kata mentah mempunyai set makna yang berikut :
Masih muda (untuk buah-buahan)
Tidak masak (masakan)
Belum masak (makanan)
Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)
7. Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza.
Contoh : daki : kotoran yang melekat pada badan
Daki : memanjat (gunung, bukit)
8. Homonim terbahagi kepada tiga jenis iaitu :
Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna. Contoh : masa dan (media) massa.
Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)
Perang (war), perang (warna blonde)
Thursday, 19 April 2012
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN DAN PERUNDANGAN MALAYSIA
Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, keperluan untuk mempunyai satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan serta lambang identiti dan citra negara amat mendesak. Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia 1970: 222) memperuntukkan:
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang Parlimen.
Namun demikian, penduduk Malaysia mempunyai kebebasan menggunakan bahasa-bahasa lain dalam urusan tidak rasmi serta mempelajari bahasa-bahasa tersebut (Malaysia 1970: 222 - 223). Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang disemak pada 1971 pula memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu digunakan bagi semua maksud-maksud rasmi.
Tegasnya, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 162/167 (disemak pada tahun 1971) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa rasmi di negara Malaysia. Bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, telah dijadikan asas pembinaan negara, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri negara bangsa, sebagai bahasa perpaduan kaum, sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara, dan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara Malaysia.
Akta Pelajaran 1961 yang menjadi kerangka rujukan pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara sehingga digantikan oleh Akta Pendidikan 1996, dibentuk berasaskan syor-syor Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Akta Pelajaran 1961 memperuntukkan beberapa perkara tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah. Antaranya ialah penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah dan mata pelajaran bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah rendah, menjadikan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran mata pelajaran yang wajib dipelajari di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan sekiranya munasabah dan praktikal dan sekiranya ibu bapa lebih daripada lima belas orang murid memohon kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil boleh diadakan; menjadikan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di semua sekolah menengah kebangsaan, manakala bahasa inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib; dan pengajaran bahasa kebangsaan adalah wajib bagi semua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Bahasa Cina dan Tamil boleh diajar sekiranya praktikal dan munasabah, dan sekiranya lebih daripada lima belas orang ibu bapa murid memohon.
Berdasarkan hakikat di atas, ternyata bahawa peruntukan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan yang temyata secara eksplisit dalam Akta Pelajaran 1961 menetapkan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Sementara itu, bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib. Hasrat ini adalah selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Pada akhir 60-an dan awal 70-an, telah berlaku perkembangan pesat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik di Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, perisytiharan Rukun Negara pada 1970, dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada1973 telah mendorong kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Justeru pada 1974 sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dan laporannya diterbitkan pada 1979. Tujuan Jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji sama ada Sistem Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum pada masa itu dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat yang diperlukan oleh negara dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang, serta sama ada sistem pendidikan kebangsaan dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979:1)
Jawatankuasa Kabinet (1979) yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed memperakui peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi utama. Jawatankuasa ini juga berpendapat bahasa Melayu wajar menjadi bahasa ilmu pengetahuan, bahasa lingua franca bagi keseluruhan negara dan bahasa perpaduan. Oleh itu, pengajaran bahasa Melayu di sekolah mestilah berlandaskan objektif yang berkaitan peranan tersebut (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 85). Jawatankuasa itu memperakui pengajaran bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib pada semua peringkat, jenis sekolah dan kelulusan dalam mata pelajaran itu dijadikan syarat untuk mendapat kelulusan dalam peperiksaan awam (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 84).
Pada tahun 1996, Akta Pendidikan 1961 telah dikaji dan diteliti. Satu Akta Pendidikan baru telah digubal bagi memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan supaya sejajar dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Akta Pendidikan 1996 (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 1998a) memperakui bahawa kemajuan negara dari segi ekonomi, sosial, rohani dan etika perlu dicapai melalui satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama serta menggunakan satu bentuk kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama.
Di samping itu, perakuan-perakuan Akta Pendidikan 1996 juga memberi maksud bahawa sebagai sistem pendidikan di negara maju, Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia perlu berkemampuan untuk melengkapkan pelajar dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan keterampilan yang diperlukan dalam negara maju, di samping mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik dan dinamik. Kualiti pendidikan yang dihasilkan melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan pula perlulah bertaraf dunia. Justeru bahasa Inggeris terus dijadikan bahasa kedua dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, di peringkat sekolah menengah bahasa Arab, Jepun, Jerman atau Perancis dan bahasa asing asing lain juga diajar.
Status dan kedudukan pendidikan bahasa Melayu dalam Akta Pendidikan 1996 ternyata di bawah bahagian Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dalam seksyen 15 dan 16 Akta Pendidikan 1996, diperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Sistem ini meliputi tiga kategori institusi pendidikan, iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di sekolah Jenis Kebangsaan ataupun mana-mana institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan (Lembaga Penyelidikan Undang-undang 1998a: 25). Institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan perlu mengajarkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib. Tegasnya, Akta Pendidikan 1996 adalah anjakan paradigma bagi Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini memperluas skop Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan bagi meliputi semua peringkat persekolahan dan kategori sekolah. Di samping itu, Akta ini juga memberi kelonggaran kepada institusi pendidikan swasta yang terangkum dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan menggunakan bahasa lain sebagai bahasa pengantar sekiranya diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan.
Pada 1996, Kementerian Pendidikan juga mewujudkan satu Akta Pendidikan khusus untuk pendidikan swasta yang dikenali sebagai Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), bertujuan untuk mengawal selia segala aspek tentang pendidikan swasta, termasuklah aspek penubuhan, pendaftaran, pengurusan, pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan. Keadaan ini dianggap perlu kerana institusi pendidikan swasta memainkan peranan sebagai pelengkap kepada pendidikan di sektor awam bagi memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau yang menghasilkan pendidikan yang kualitinya bertaraf dunia (Najib 1996).
Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di institusi pendidikan tinggi swasta. Walaupun demikian, Akta itu juga memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk memberi pengecualian kepada institusi pendidikan tinggi swasta tertentu dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai pengantar utama.
Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta (1996) hangat dibincangkan oleh ahli-ahli bahasa dan cendekiawan Melayu pada akhir abad ke-20. Mereka berpendapat pelaksanaan Akta itu akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan (Zainal Abidin 1996; Shahrir 1996; Abdullah 1996; Hassan 1996; Nik Safiah 1996; Abdul Rahim 2000; Abdul Ghani 2000).
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pelajaran 1961 berhasrat untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar ilmu di institusi pendidikan. Bahasa Melayu sekaligus diharap dapat memainkan peranan tersirat sebagai bahasa pemersatu dan lambang jati diri masyarakat Malaysia yang merdeka.
Sementara itu, Akta Pendidikan 1996 perlu dianggap sebagai suatu anjakan paradigma kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini membenarkan kewujudan satu lagi aliran pendidikan dalam sistem kebangsaan iaitu pendidikan swasta yang membolehkan bahasa Inggeris dan bahasa lain berperanan sebagai bahasa pengantar sekiranya mendapat kebenaran Menteri Pelajaran. Peruntukan ini adalah suatu penyimpangan daripada dasar bahasa dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang unggul yang dilaksanakan pada tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu dan bahasa pengantar ilmu tidak lagi dianggap sebagai yang terutama. Ini menimbulkan suatu kekeliruan sehinggalah agenda untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu tidak mampu tiba ke garis penyelesaian. Akhir-akhir ini dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global, kerajaan telah melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris 2003. Dasar sedemikian menekankan kepentingan bahasa Inggeris mengatasi kepentingan bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, pada Julai 2009 kerajaan telah memutuskan kedua-dua mata pelajaran akan kembali diajar dalam bahasa Melayu pada 2012.
Sunday, 15 April 2012
Petua Mak Nenek
Melembutkan Daging
Ada beberapa cara untuk melembutkan daging. Antaranya ialah :
1. Ramai surirumah mengeluh kerana daging yang mereka masak tidak empuk. Untuk mengatasinya, rebus daging dengan satu cawan air kelapa hingga lembut. Kemudian masak seperti biasa.
2. Tumbuk halia dan camprkan sedikit garam. Perapkan bahan ini dengan daging kira-kira setengah jam. Kemudian bilas dengan air dan bolehlah dimasak seperti biasa.
3. Masukkan beberapa ketul air batu ke dalam bekas yang berisi daging. Biarkan seketika kemudian cuci. Daging akan cepat empuk.
4. Rebus daging bersama akar daun pandan yang telah dicuci bersih. Kemudian masak daging seperti biasa.
Melembutkan Perut Lembu
Memasak perut lembu mengambil masa yang agak lama. Cara yang paling berkesan ialah masukkan sudu kaca ke dalamnya sewaktu merebus.
Membersihkan Barang Kemas
Ada beberapa cara untuk membersihkan barang kemas. Di sini dipaparkan dua cara untuk membersihkan barang kemas.
1. Rendam barang kemas dalam air suam selama satu jam. Kemudian berusnya dengan ubat gigi menggunakan berus gigi yang lembut. Gosoklah sehingga dakinya hilang. Kemudian cuci dan rendamkan dalam air teh selama beberapa jam. Kemudian keringkan.
2. Rendam barang kemas dalam air asam jawa dan biarkan semalaman. Kemudian gosok menggunakan ubat dan berus gigi.
Cili Jeruk Tahan Lama
Celurkan cili yang telah dihiris ke dalam air panas. Biarkan semalaman. Toskan airnya sehingga kering. Kemudian campurkan sedikit cuka, air masak dan masukkan ke dalam bekas yang bertutup.
Cili Kisar Tahan Lama
- Buang biji cili kering terlebih dahulu dan rendam semalaman.
- Kisarkan sehingga hancur. Rebus bersama sekit minyak masak sehingga kering.
- Apabila sejuk, masukkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti sejuk.
Masakkan cili dengan air dan sedikit garam. Setelah sejuk bolehlah dikisar hingga hancur. Simpan dalam peti sejuk.
Menghancurkan Biji Cili
Kita sering menghadapi masalah untuk menghancurkan biji cili setelah dikisar:-
- Masukkan cili dan bahan-bahan lain ke dalam balang pengisar.
- Tuangkan sedikit minyak masak ke dalam balang pengisar tadi.
- Kisar sehingga semuanya hancur.
Kata Majmuk
Bentuknya
1) Kata majmuk ialah gabungan dua atau lebih daripada dua patah kata untuk satu kata baru
2) Kata majmuk dapat dibentuk daripada dua patah kata yang sama kelasnya atau daripada dua patah kata yang berlain kelasnya
3) Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya tersendiri. Contohnya air dan mata yang menjadi komponen kata majmuk air mata. Kata majmuk mempunyai maknanya masing-masing. Makna air mata ialah air yang meleleh dari mata apabila menangis.
4) Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama. Contohnya cantik jelita bermakna sangat cantik, hancur lebur bermakna hancur sama sekal, sunyi sepi bermakna sangat sunyi
5) Dua patah kata yang sama atau hampir same maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan
6) Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang
7) Kata majmuk dapat dibezakan bentuk kata majmuk daripada bentuk kata ganda yang dieja bersempang kecuali kata ganda separa seperti bebawang, jejari
8) Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terccantum ialah antarabangsa, apabila, bagaimana, bumiputera, daripada, demikian, jawatankuasa, jurumudi, kadangkala, kakitangan, olahraga, pesuruhjaya, setiausaha, tandatangan, tanggungjawab, warganegara, manakala, dan walaupun
9) Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terpisah ialah tanah air, air mata, buah pinggang, campur tangan, daun pintu, ganti rugi, dan hak cipta
Tugasnya
1) Kata majmuk mempunyai dua tugas iaitu:
a) Menetapkan kelas kata dasar. Contohnya
Air – mata = air mata
Lemah – lembut = lemah lembut
Mogok – duduk = mogok duduk
Dari – pada = daripada
Apa – bila = apabila
b) Mengubah kelas kata dasar. Contohnya
Alim – ulama = alim ulama
Gulung – tikar = gulung tikar
Lalu – lintas = lalu lintas
Cerdik – pandai = cerdik pandai
Maknanya
1) Kata majmuk dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu
a) Kata majmuk wajar
b) Kata majmuk kiasan
2) Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya yang yang maknanya dapat diketahui daripada makna kata-kata yang menjadi komponennya. Contohnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur
3) Kata majmuk kiasan ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya. Contohnya, buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kena-mengena dengan buah ataupun hati. Makna buah hati ialah kekasih yang dicintainya bukan buah yang bernama hati
Beberapa Contoh Kata Majmuk Wajar
Abuk gergaji Dengki hati Jagat raya Minyak makan
Adapt istiadat Emas putih Juling air Naik taktha
Alih bahasa Gagah berani Kaca mata Olahraga
Bahasa pasar Gunung berapi Kerak bumi Orang gaji
Bakul sampah Halwa maskat Kolam renang Orkes ghazal
Batang hidung Hitam manis Kongsi gelap Rabun jauh
Cacar air Hancur lebur Kuning langsat Pagar duri
Cakera padat Hijau laut Lempar cakera Sabun mandi
Damar batu Cantik jelita Harga borong Lampu tidur
Ruang angkasa Ikan parang Tahan lasak Udang galah
Darma siswa Inti sari Mabuk laut Uji kaji
Daya cipta Isi perut Merah jambu Wang saku
Rabun dekat Buah tangan Air laut
Beberapa Contoh Kata Majmuk Kiasan
Akal kancil Emas kahwin Isi hati Nyawa ikan
Anak angkat Anak emas Gaji buta Jauh hati
Otak udang Gambar hidup Kucing miang Pacat kenyang
Anak kunci Gatal mulut Kakitangan Panas hati
Batu loncatan Gunung payung Lemah semangat Panjang tangan
Cepat tangan Banyak mulut Habis akal Main angin
Mulut murai Patah hati Buah mulut Hajat besar
Pasar gelap Bulan madu Halwa telinga Malam buta
Cahaya mata Harga diri Mandi keringat Rendah hati
Campur tangan Ibu ayam Bapa ayam Naik darah
Sampai hati Cekak musang Intan baiduri Nikah gantung
Tangan besi Naik angin Buah Hati
Tuesday, 10 April 2012
MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU
MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU
KE SEKOLAH TIDAK JEMU MENGAJAR TIDAK LESU
"The mediocre teacher tells. the good teacher explains.
The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires."
~ William A. Ward
Pendahuluan:
Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara.
Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?
Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan global," (hlm.24).
Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena "Low Performing Schools"?
Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%
Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti Malaya terhadap "keberkesanan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan kita.
Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan
Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:
• Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
• Belajar untk membuat (Learning to Do)
• Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
• Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together)
Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut adalah:
• Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.
• Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.
• Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.
• Tema 4: Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah
kesesuaian dengan perubahan.
• Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi
pembelajaran (learning organization).
• Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan
infrastruktur bekerja belajar.
Kewibawaan yang Dipersoalkan
Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan belajar di rumah ini.
Salah satu daripada tiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Subscribe to:
Posts (Atom)




