Sunday 21 October 2012

Melayu Bangsa Besar



Mungkin suatu masa nanti kata-kata itu akan menjadi dendangan yang cukup muluk untuk menghiburkan hati anak cucu. Ia menjadi seperti tarian lelaki-lelaki Gypsy di Eropah yang menggambarkan keperwiraan nenek moyang mereka tatkala masih di benua kecil India. Ia diiring melodi yang penuh bersemangat; cukup untuk menyebabkan Gypsy-Gypsy yang menontonnya terlupa bahawa mereka adalah bangsa yang tidak lagi mempunyai negeri!
‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar!’

Para pemimpin kita, datuk nenek kita, bijak pandai kita tidak pernah jemu-jemu mengulang frasa itu. Asal ada konvensyen, ada seminar, ada tempat untuk berucap, ada kertas untuk ditulis, ada ruang untuk bercakap dan ada orang bersedia mendengar, mereka akan mengulangi, atau setidak-tidaknya
menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.
Tujuannya amat jelas. Mereka bermaksud untuk membangkitkan semangat bangsa mereka. Mereka mahu kita sama-sama sedar bahawa Melayu bukannya bangsa kecil yang boleh diperlekehkan. Melayu pernah gemilang. Melayu pernah hebat. Melayu pernah menjadi kuasa yang disegani dan digeruni.
Dasar pandang belakang ini dalam banyak keadaan memang membawa kebaikan. Setakat sekarang ia berjaya menghidupkan jiwa orang Melayu. Mampu mencetuskan semangat untuk ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi besar seperti dahulu.
Tetapi kekerapan melihat ke belakang juga kalau tersilap diamalkan boleh mendepankan orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin lupa pada apa yang ada di depan. Mereka mungkin lupa untuk mengimbangkan antara kegemilangan silam dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal mendatang.
Di sinilah dilemanya sekarang. Dalam ghairah mengejar kegemilangan, yang pernah dimiliki tetapi kemudian hilang itu, Melayu sering lupa tempat berpijak dan berdiri. Dengan perkataan lain, Melayu mudah lupa diri.

Kenapa ini terjadi?
Jawapannya mungkin berbagai, tetapi satu di antara yang penting ialah, Melayu sebenarnya tidak kenal diri dan bila seseorang itu tidak kenal dirinya jangan hairanlah jika ia mudah kehilangan hala dan arah.
Cubalah buat kajian rambang, berapa kerat Melayu yang tahu asal keturunannya?
Tidak ramai. Kebanyakan Melayu cuma tahu salasilah keluarganya sehingga ke peringkat moyangnya sahaja. Jarang yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu generasi siber ini, ada yang sudah tidak tahu nama datuk atau neneknya sendiri. Satu faktor yang memungkinkan kenapa orang Melayu tidak begitu berminat untuk menjenguk ke akar umbi keluarga dan keturunannya ialah soal assabiyah. Sebagai penganut Islam yang taat, orang Melayu mungkin beranggapan, membanggakan keturunan adalah satu unsur assabiyah – unsur yang ditolak oleh Islam kerana nilai puak dan kesukuannya.
Tetapi Melayu yang bijak sepatutnya melihat assabiyah dalam konteks yang lebih luas, bukannya asabiyah-jahiliyah. Kita tidak menganjurkan mereka menjadi pengamal jingo nasiolisme yang serba sempit. Menyayangi dan menghargai keluarga serta keturunan sendiri tidak harus disamakan dengan orang lain yang lebih berhak.
Kerana tidak menghargai keluarga dan keturunan, Melayu juga akhirnya tidak mempedulikan sangat asal bangsanya. Mereka seringkali tidak pernah mahu tahu dari mana orang Melayu bermula. Sehingga sekarang amat sedikit sarjana Melayu yang mahu mengembara mencari titik mula bangsanya. Kebanyakan mereka lebih sibuk dengan agenda politik semasa. Menyiapkan kertas kerja bagi sebuah projek perdana sentiasa dianggap lebih baik daripada menyempurnakan kajian tentang salasilah bangsa sendiri.
Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu masih kabur dan keliru. Ada yang percaya bangsa sawo matang ini asalnya dari Yunnan dan tidak kurang yang percaya ia bermula dari pulau-pulau di Tenggara Asia. Yang mengaitkan Melayu dengan keturunan Iskandar Zulkarnain di Mecadonia pun ada. Dalam pada itu ada pendapat lain menyatakan manusia Melayu sebenarnya bermula di sini, di bumi ini, bukannya di tempat-tempat lain. Pendeknya, tidak ada satu pun yang jelas.

Lakukanlah kajian yang sama ke atas mereka yang bukan Melayu. Kebanyakan keluarga Cina mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak menyimpannya secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka akan melakukannya.
Seorang budak lelaki Cina barangkali boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya dahulu meninggalkan Swatow dengan kapal yang sarat dengan ribuan penumpang bersama keping keping siling di saku. Tetapi jangan terkejut jika banyak budakbudak Melayu yang tidak tahu bagaimana bapanya mula merantau ke Kuala Lumpur sepuluh atau lima belas tahun lalu.
Apakah kesimpulan kasar yang boleh dibuat daripada kenyataan-kenyataan di atas?
Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.
Tidak mengambil berat tentang susur galur keluarga adalah gambaran terhadap tidak wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Dan orang yang tidak menghargai keluarga sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana bangsa sesungguhnya bermula daripada keluarga!

No comments:

Post a Comment