Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Beijing Foreign Studies University
PENDAHULUAN
Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering,
membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan
membosankan kerana kononnya tata bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus
bahasa, sama halnya dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah
bererti bercakap tentang soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian
lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tata bahasa
mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang
kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tatabahasa.
Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek
yang menarik di bilik darjah?
Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan
tentang kaedah dan teknik pengajaran tata bahasa yang menarik ialah berusaha
membetulkan anggapan salah tentang tatabahasa. Kata pepatah “Tak Kenal maka tak
cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa, tumbuhlah rasa cinta
kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang
berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah saja”. Demikianlah mudah-mudahan
tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.
TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA
Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita
mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan
pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri
daripada morfologi dan sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas
hakikat bahasa ialah satu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada
anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam ruh, sebelum dilahirkan
ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau
innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan
bahasa dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa,
klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu
kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam
satu sistem semantik.
Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi
asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses
penyesuaian parameter. Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa,
terang pada kita bahawa tata bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita
berbahasa. Adanya tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan
manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak
terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata
bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak
seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa,
misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun
kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.
Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus
bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya
yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana
bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada
satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang
disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa
manusia, yang bererti adanya tata bahasa yang berlainan dijelaskan dalam
al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu
difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa
yang tertentu.
Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan
dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi
bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis
berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola
bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa.
Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan
perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu
sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak
mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis
dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki
keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai
skema sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang
bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos)
yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan
menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tata bahasa.
Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat
tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata
bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang
sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai
sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari
(oleh murid atau pelajar).
PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA
Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik
pada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara
didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah agar murid
menguasai sistem bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa
itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan
nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi,
terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang
berkesan dan juga untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan
ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem
semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara
langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.
Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli
pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa.
Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama
ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa.
Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan
kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula
ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan
pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang
terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam
komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang
ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga
mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran
kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab
keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada
aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.
Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran
bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan
komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada
penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif
bahasa. Dalam hal pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan
rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks
penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek
komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi
rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya
menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua
pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari
tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa
yang gramatis dan bersistem.
Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah
pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada
segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita
bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus
dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan
sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted
code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina”
(elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana
pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat
memenuhi keperluan asas hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan
budaya tinggi.
STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA
Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di
negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi
diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan,
misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran
dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa
dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.
Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan
bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan.
Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:
a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu
mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua
kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem
bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran
bahasa.
Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang
berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran
tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila
tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah
dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa
sehingga menimbulkan kebosanan. Tatabahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan
aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan,
dapat pula murid memahami penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam
konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam
pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang.
Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan
menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa.
Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan
tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat
kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut
menekankan aspek kandungan bahasa.
Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala
maklumat tentang kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui
perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan
melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu
dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran
lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu
terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara
bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi kepada 16 nilai utama dengan
pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.
Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa
pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan
murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis
anggapan salah bahawa tata bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih
daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabungjalinan murid diasuhkan
menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam
kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi,
penyerapan pula, murid dituntun menguasai tatabahasa dalam konteks yang
bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa,
kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak
menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa
ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu
mengajarkan tatabahasa.
Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam
pengajaran tatabahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi
perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.
Perancangan
Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal
pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan
berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk
peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.
Selanjutnya unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan
tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa
tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di
bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah
sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.
Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan
pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk
menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak
diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang
unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian tentang makna
dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan
yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau
bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur
tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk
wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah
ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai
“bahan ransangan”.
Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran
tatabahasa ialah:
a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi
dan bahan grafik, sesuai dengan kepalbagaian konteks penggunaan tata bahasa.
b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan
maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.
c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni,
selaras dengan gagasan penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan,
borang, risalah, dan sebagainya.
e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali
untuk tujuan analisis kesilapan.
f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.
Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar
tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun
jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar.
Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa
yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan
daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan
latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran
yang berdasarkan tema.
Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan
aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam
bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di
peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid
termasuklah:
a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur
tatabahasa tertentu dalam bahasa.
b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan
pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata,
ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan
sebagainya.
c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid
menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat
daripada bahan tersebut, dan sebagainya.
d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid
menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi,
seni kata, dan cerita.
e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau
sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.
f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi
atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks
itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang
betul (5W + 1H).
g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab
kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda,
memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar
struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.
h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan
dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).
i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan
unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan
sebagainya.
PENUTUP BICARA
Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira
tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah
pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tatabahasa ialah bahagian
yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh
diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi
penggabungjalinan dan penyerapan. Untuk memenuhi strategi tersebut, perlu
dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan
konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Dalam
pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan
aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tata bahasa dapat
membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau
terpaksa.
No comments:
Post a Comment