Thursday 19 April 2012

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN DAN PERUNDANGAN MALAYSIA

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, keperluan untuk mempunyai satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan serta lambang identiti dan citra negara amat mendesak. Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia 1970: 222) memperuntukkan:
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang Parlimen.

Namun demikian, penduduk Malaysia mempunyai kebebasan menggunakan bahasa-bahasa lain dalam urusan tidak rasmi serta mempelajari bahasa-bahasa tersebut (Malaysia 1970: 222 - 223). Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang disemak pada 1971 pula memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu digunakan bagi semua maksud-maksud rasmi.
Tegasnya, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 162/167 (disemak pada tahun 1971) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tunggal dan bahasa rasmi di negara Malaysia. Bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, telah dijadikan asas pembinaan negara, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri negara bangsa, sebagai bahasa perpaduan kaum, sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara, dan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara Malaysia.
Akta Pelajaran 1961 yang menjadi kerangka rujukan pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara sehingga digantikan oleh Akta Pendidikan 1996, dibentuk berasaskan syor-syor Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Akta Pelajaran 1961 memperuntukkan beberapa perkara tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah. Antaranya ialah penggunaan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah dan mata pelajaran bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah rendah, menjadikan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran mata pelajaran yang wajib dipelajari di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) dan sekiranya munasabah dan praktikal dan sekiranya ibu bapa lebih daripada lima belas orang murid memohon kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil boleh diadakan; menjadikan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di semua sekolah menengah kebangsaan, manakala bahasa inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib; dan pengajaran bahasa kebangsaan adalah wajib bagi semua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Bahasa Cina dan Tamil boleh diajar sekiranya praktikal dan munasabah, dan sekiranya lebih daripada lima belas orang ibu bapa murid memohon.
Berdasarkan hakikat di atas, ternyata bahawa peruntukan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan yang temyata secara eksplisit dalam Akta Pelajaran 1961 menetapkan bahasa Melayu sebagai pengantar utama di sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Sementara itu, bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran wajib. Hasrat ini adalah selaras dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Pada akhir 60-an dan awal 70-an, telah berlaku perkembangan pesat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik di Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, perisytiharan Rukun Negara pada 1970, dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada1973 telah mendorong kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Justeru pada 1974 sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dan laporannya diterbitkan pada 1979. Tujuan Jawatankuasa ini ialah untuk mengkaji sama ada Sistem Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum pada masa itu dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat yang diperlukan oleh negara dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang, serta sama ada sistem pendidikan kebangsaan dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979:1)
Jawatankuasa Kabinet (1979) yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed memperakui peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi utama. Jawatankuasa ini juga berpendapat bahasa Melayu wajar menjadi bahasa ilmu pengetahuan, bahasa lingua franca bagi keseluruhan negara dan bahasa perpaduan. Oleh itu, pengajaran bahasa Melayu di sekolah mestilah berlandaskan objektif yang berkaitan peranan tersebut (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 85). Jawatankuasa itu memperakui pengajaran bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib pada semua peringkat, jenis sekolah dan kelulusan dalam mata pelajaran itu dijadikan syarat untuk mendapat kelulusan dalam peperiksaan awam (Kementerian Pelajaran Malaysia 1979: 84).
Pada tahun 1996, Akta Pendidikan 1961 telah dikaji dan diteliti. Satu Akta Pendidikan baru telah digubal bagi memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan supaya sejajar dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Akta Pendidikan 1996 (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang 1998a) memperakui bahawa kemajuan negara dari segi ekonomi, sosial, rohani dan etika perlu dicapai melalui satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama serta menggunakan satu bentuk kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama.
Di samping itu, perakuan-perakuan Akta Pendidikan 1996 juga memberi maksud bahawa sebagai sistem pendidikan di negara maju, Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia perlu berkemampuan untuk melengkapkan pelajar dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan keterampilan yang diperlukan dalam negara maju, di samping mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik dan dinamik. Kualiti pendidikan yang dihasilkan melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan pula perlulah bertaraf dunia. Justeru bahasa Inggeris terus dijadikan bahasa kedua dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, di peringkat sekolah menengah bahasa Arab, Jepun, Jerman atau Perancis dan bahasa asing asing lain juga diajar.
Status dan kedudukan pendidikan bahasa Melayu dalam Akta Pendidikan 1996 ternyata di bawah bahagian Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dalam seksyen 15 dan 16 Akta Pendidikan 1996, diperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Sistem ini meliputi tiga kategori institusi pendidikan, iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di sekolah Jenis Kebangsaan ataupun mana-mana institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan (Lembaga Penyelidikan Undang-undang 1998a: 25). Institusi pendidikan yang diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan perlu mengajarkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib. Tegasnya, Akta Pendidikan 1996 adalah anjakan paradigma bagi Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini memperluas skop Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berbahasa pengantar bahasa kebangsaan bagi meliputi semua peringkat persekolahan dan kategori sekolah. Di samping itu, Akta ini juga memberi kelonggaran kepada institusi pendidikan swasta yang terangkum dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan menggunakan bahasa lain sebagai bahasa pengantar sekiranya diberi pengecualian oleh Menteri Pendidikan.
Pada 1996, Kementerian Pendidikan juga mewujudkan satu Akta Pendidikan khusus untuk pendidikan swasta yang dikenali sebagai Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), bertujuan untuk mengawal selia segala aspek tentang pendidikan swasta, termasuklah aspek penubuhan, pendaftaran, pengurusan, pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan. Keadaan ini dianggap perlu kerana institusi pendidikan swasta memainkan peranan sebagai pelengkap kepada pendidikan di sektor awam bagi memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau yang menghasilkan pendidikan yang kualitinya bertaraf dunia (Najib 1996).
Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama di institusi pendidikan tinggi swasta. Walaupun demikian, Akta itu juga memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk memberi pengecualian kepada institusi pendidikan tinggi swasta tertentu dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai pengantar utama.
Akta Pendidikan 1996 dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta (1996) hangat dibincangkan oleh ahli-ahli bahasa dan cendekiawan Melayu pada akhir abad ke-20. Mereka berpendapat pelaksanaan Akta itu akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan (Zainal Abidin 1996; Shahrir 1996; Abdullah 1996; Hassan 1996; Nik Safiah 1996; Abdul Rahim 2000; Abdul Ghani 2000).
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan Akta Pelajaran 1961 berhasrat untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar ilmu di institusi pendidikan. Bahasa Melayu sekaligus diharap dapat memainkan peranan tersirat sebagai bahasa pemersatu dan lambang jati diri masyarakat Malaysia yang merdeka.
Sementara itu, Akta Pendidikan 1996 perlu dianggap sebagai suatu anjakan paradigma kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta ini membenarkan kewujudan satu lagi aliran pendidikan dalam sistem kebangsaan iaitu pendidikan swasta yang membolehkan bahasa Inggeris dan bahasa lain berperanan sebagai bahasa pengantar sekiranya mendapat kebenaran Menteri Pelajaran. Peruntukan ini adalah suatu penyimpangan daripada dasar bahasa dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang unggul yang dilaksanakan pada tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatu dan bahasa pengantar ilmu tidak lagi dianggap sebagai yang terutama. Ini menimbulkan suatu kekeliruan sehinggalah agenda untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar ilmu tidak mampu tiba ke garis penyelesaian. Akhir-akhir ini dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global kerajaan untuk memartabatkan negara dalam dunia global, kerajaan telah melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris 2003. Dasar sedemikian menekankan kepentingan bahasa Inggeris mengatasi kepentingan bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, pada Julai 2009 kerajaan telah memutuskan kedua-dua mata pelajaran akan kembali diajar dalam bahasa Melayu pada 2012.

2 comments:

  1. alaa,you klik kanan dan seretlah bila keluar backgraound biru dan copy kemudian paste lah mana-mana.

    ReplyDelete